SEPATAH KATA
Kitab Zabur, yang telah diwahyukan kepada Nabi Daud khususnya, telah banyak membawa ketenangan jiwa kepada insan zaman-berzaman. Oleh itu, di dalam buku kecil ini kami mengumpulkan 31 petikan dari Kitab Zabur untuk anda tatap dan resapkan ke dalam hati serta hayat anda. Selepas setiap petikan itu, kami coretkan sebahagian perutusannya untuk direnungi.
Anda boleh membaca satu petikan setiap hari. Di samping itu, apabila anda merasakan sesuatu keperluan yang mendesak, carilah petikan yang sesuai dengannya.
Mungkin anda menghadapi pancaroba dalam hidup, dianiayai oleh orang yang menaruh hasad dengki, ditindas oleh insan durjana yang angkuh. Mungkin juga anda telah tergoda melakukan sesuatu kesalahan, lalu terseksa oleh hati nurani sendiri, terasa dimurkai oleh Allah, disingkirkan-Nya seolah-olah anda telah lenyap daripada ingatan-Nya.
Atau, mungkin anda telah diselamatkan oleh Allah daripada bencana. Mungkin anda telah bertaubat daripada dosa dan seluruh jiwa anda merasakan rahmat pengampunan Allah.
Mungkin anda merasa bahagia dan ingin bersorak-sorai memuji kebesaran Allah dan bersyukur kerana kasih sayang-Nya yang abadi.
Kitab Zabur merupakan curahan jujur segala perasaan ini serta pelbagai warna rasa yang lain. Semoga anda akan mendapat pedoman rohaniah yang mendalam daripadanya.
Melalui petikan-petikan ini, mudah-mudahan anda akan dapat merasa lebih damping dengan Allah. Semoga anda akan lebih yakin mencurahkan segala yang terpendam dalam hati kepada Allah yang sentiasa mengerti, mengampuni, membimbing dan menyayangi.
Allah berkati anda!
Untuk maklumat lanjut, sila tulis ke alamat berikut:
Straight Path
Box 132, Bangkok 10501, Thailand