Kesaksian Saudari Ainur
Zabur 118:24 Menyatakan : "Inilah hari yang dijadikan TUHAN, marilah kita bersorak-sorak dan bersukacita kerananya!" Adalah salah satu ayat dari Kitab Injil yang menjadi kegemaran saya sejak saya telah MENGENALI DAN MEMELUK utusan Injil sejati Sayidina Isa al-Masih, sebagai Rabbani, Pembimbing serta Penyelamat kehidupan saya sehari-hari, daripada kutukan dan kongkongan dosa.
Saya dilahirkan di Malaysia sebagai anak Melayu. Gadis yang bongsu dari lima beradik, Ibu dan bapa saya membesarkan saya dengan ajaran Islam sejak kecil lagi. Setiap hari saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan saya emak dan bapa serta keluarga yang dengan penuh kasih sayang menanggung dan mengajar saya hidup sebagai seorang Islam. Mereka memberi segala pengetahuan yang saya perlu untuk mengetahui yang Tuhan itu ada, dan saya bertanggungjawab atas segala kelakuan dan keputusan yang saya ambil. Oleh sebab itu, saya senantiasa cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang Muslimah yang patuh terhadap ajaran Allah dan tidak berani untuk menyimpang dari ajaran Islam. Jika saya tidak patuh kepada Allah, maka saya berdosa terhadapNya, tetapi bila saya berbuat amalan baik, ganjarannya saya dapat pahala, dan lagi banyak pahala lagi bagus. Pasal itulah saya cuba tidak tinggal sembahyang, baca Al Quran betul betul, puasa bulan Ramadan dan segalanya yang menjadi amalan saya. Tetapi dalam masa yang sama, di dalam hati saya, saya akui dan sedari yang walaupun saya mencuba sedaya upaya untuk menjadi solehah, muslimah yang patuh, saya tidak boleh capai taraf atau mutu yang dikehendaki Allah!
Saya pasti semua orang Muslim setuju dengan saya, bila saya katakan yang Tuhan itu SUCI, bersih dan murni. Dia TIDAK ADA dosa dan TIDAK BOLEH berdosa dan TIDAK SUKA akan dosa. Jadi soalan pertama saya kepada kamu ialah bagaimana harus kamu menyucikan diri mu dari segala dosa-dosa untuk menemui Tuhan ini di akhirat? Tidak semestinya dosa–dosa yang besar yang harus dipersoalkan, biarpun yang kecil, seperti mengumpat, menipu, tidak membaca Quran betul-betul atau niat dosa yang di dalam hati dan kepala, apa yang kita fikirkan..yang mungkin tidak diketahui oleh sesiapapun, tapi Tuhan tahu segalanya tentang fikiran kita yang baik ataupun yang buruk. Mungkin kamu menjawab soalan saya dengan jawapan..kita cuma boleh berusaha saja, Tuhan yang akan menentukan akhirnya. Ya..tapi kenyataannya ialah TUHAN itu SUCI dan kita manusia ini sudah tercemar dan kotor dengan dosa, jadi bagaimana kawan-kawan? Inilah soalan yang dahulunya senantiasa dalam hati dan fikiran saya walaupun dari luar dan lahiriah, saya dilihat seperti orang-orang Islam Melayu yang lain, memakai tudung dan patuh dengan ajaran agama.
Semasa usia saya 18 tahun, saya pergi ke luar negara untuk belajar. Sebagai anak Melayu di negeri orang, walaupun saya jauh dari keluarga saya masih patuh dengan ajaran Islam yang telah sebati dengan kehidupan saya seharian. Saya masih puasa dan sembahyang kerana saya tahu yang Allah masih melihat saya tidak kiralah di mana saya berada. Lagipun saya amat bangga sebagai seorang Islam, anak Melayu di perantauan. Tetapi semakin hari beban dosa-dosa saya, sama ada yang kecil atau yang besar semakin berat di dalam hati saya. Saya sedar yang jika saya mati, saya akan menemui Tuhan seorang diri, dan tidak ada apapun yang keluarga atau negara boleh buat untuk saya bila saya meninggal dunia ini. Hanya antara Tuhan dan diri saya saja. Jadi apa yang harus saya lakukan tentang dosa saya supaya saya bersedia untuk menemui Tuhan? Apa jadi sekiranya amal ibadah saya tidak cukup, tidak sampai ke taraf Tuhan yang suci? Mengapa dalam surah Al Fatihah, sekurang-kurangnya lima kali sehari umat Islam,berdoa kepada Tuhan supaya ‘tunjuk kami ke jalan yang benar’? Kalau Islam bukan jalan yang benar..apa yang benar? Saya telah melihat penganut agama Buddha dan Hindu, mereka hanyalah penyembah berhala.Bagaimana pula penganut agama Kristian? Adakah mereka juga hanya semata-mata penyembah berhala? Apa sebenarnya di dalam kitab Injil? Mengapa di dalam Quran ada menyatakan untuk mengasihi ahli-ahli kitab iaitu orang Kristian Nasrani. Jauh di dalam hati saya, saya tahu yang saya MESTI mencari jawapan terhadap segala persoalan ini. Tetapi apa yang selalunya terjadi ialah saya cuba menolak dan melupakan soalan ini kerana takut menjadi murtad.
Sementara itu, seorang kenalan saya, seorang penganut Kristian, (maknanya pengikut Christ = Al-Masih) memberitahu saya yang orang Kristian sebenarnya tidak menyembah berhala.Dia memberikan saya senashkah Kitab Suci Injil untuk dibaca bermula dari ‘Perjanjian Baru’. Sebagai seorang Muslim, saya takut untuk membaca Kitab Injil sebabnya saya diajar dan di beri amaran dari kecil lagi supaya jangan baca Kitab Injil. Rakan saya itu pula mencabar saya dengan mengatakan kalau saya kata yang Islam dan Quran itu benar saya tidak harus takut membaca Injil. Ya betul,saya setuju dengan dia sebab mak saya selalu suruh saya berkata benar kerana kebenaran akan menjadi nyata. Jadi saya tujukan soalan yang sama kepada kamu, kalau Islam itu benar, jalan yang benar, kenapa kamu semua takut membaca kitab Injil/ Bible? Yohanes 8:32 : "..dan kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan memerdekakan kamu." Ya kawan-kawanku, kebenaran akan membebaskan kamu daripada beban, kutukan dan kongkongan dosa-dosa kamu sendiri.
Segala jawapan yang saya mencari-cari, telah saya temui di dalam Kitab Injil. Soalan seperti mengapa saya senantiasa melakukan dosa, mengapa lebih senang menjawab dengan helah (tipu sunat konon), mengapa lebih senang menyakiti hati orang lain dari memuji…semua ini dosa-dosa yang selalunya dilakukan tanpa disedari lagi. (Walaupun kita cuba sedaya upaya untuk menjadi soleh dan tidak melakukannya..kita tidak boleh lari dari berdosa!!) Jawapan dari Kitab Injil ialah SEMUA manusia dilahirkan berdosa, dan mempunyai sifat semulajadi untuk berdosa,untuk menentang dan melawanTuhan. Roma 3:23 Kerana semua orang telah berbuat dosa dan telah kehilangan kemuliaan Allah. Kita hanya perlu perhatikan seorang anak kecil, sejak bayi lagi punya perangai yang boleh memberontak( tidak mahu menyusu umpamanya), melawan, naik angin, tidak dengar kata, lebih senang menjadi nakal dari baik kerana ini sifat semulajadi bayi itu iaitu sifat semulajadi semua manusia. Belum pernah ditemui seorang ibu yang mengajar anaknya untuk menjadi nakal, tetapi sebaliknya terjadi,kita sering jumpa ibu–ibu yang kerap kena mengajar anak-anaknya untuk menjadi baik, dan mendengar kata. Kitab Injil berkata Jer 17:9 Hati manusia tak dapat diduga, paling licik dari segala-galanya dan terlalu parah penyakitnya. Sesungguhnya punca masaalah kita bukan apa yang boleh dilihat dari luar tetapi punca masaalah kita atau punca dosa kita adalah dari dalam hati kita sendiri. Hati dan jiwa yang kotor. Ya, kita boleh sembahyang lima kali sehari, berpuasa di bulan Ramadhan, pergi Mekah setiap tahun dan bila balik ’rasa’ diri kita ini suci,bersih ..tetapi dalam hati kita hanya Tuhan saja yang tahu. Lagipun Tuhan tidak hanya melihat kerja amalan kita yang diluar yang hanya boleh dilihat oleh manusia tetapi Tuhan melihat apa yang ada di dalam hati kita. Dalam Kitab Suci Injil ditemui ayat - 1 Samuel 16:7, yang berfirman "Tetapi TUHAN berkata kepada Samuel, 'Janganlah kau terpikat oleh rupanya yang elok dan tinggi badannya; bukan dia yang Kukehendaki. Aku tidak menilai seperti manusia menilai. Manusia melihat rupa, tetapi Aku melihat hati'." Oleh itu, teman Muslim saya, cubalah merenungkan sejenak kebenaran ini. Saya tujukan soalan ini pada kamu sekali lagi. Bersih ke?, Suci ke hati kamu itu? Saya tidak tanya sama ada kamu dah sembahyang ke belum, sama ada kamu berpuasa penuh sebulan Ramadan, atau berapa kali dah pergi Mekah…saya cuma tanya sama ada hati kamu, hati kita bersih ke dari dosa-dosa seharian seperti dengki, iri hati, menyumpah, marah, kesombongan, mengata-ngata ataupun fikiran yang melayang tanpa tujuan, fikiran yang kotor. Hanya KAMU SENDIRI saja yang boleh menjawab soalan ini, dan soalan ini HARUS dijawab kerana Tuhan tahu dan kenal apa yang ada dalam hati kamu itu. Hati dan jiwa kamu mestilah bersih dari dosa, kotoran, untuk berada di syurga bersama Tuhan. Jadi masaalah kita ialah yang sebenarnya kita SEMUA punya hati dan jiwa yang penuh pencemaran dosa dan kekotoran. Dan dosa mesti ada hukuman iaitu maut atau kematian.
Jadi setelah mengetahui dari Kitab Injil yang saya telah berdosa terhadap Tuhan dan mengaku akan kebenaran ini, bagaimanakah seseorang itu boleh membersihkan hati dan jiwanya dari dosa dan bebas dari hukuman dosa? Inilah jawapan yang diberikan di dalam Kitab Injil, dan inilah sebabnya mengapa saya menjadi seorang Kristian..pengikut Isa Al Masih bukan penyembah berhala. Mengapakah Isa (as) atau Isa Al-Masih telah mati disalibkan? Hakikatnya ialah: Baginda telah disalibkan dan mati kerana ANDA dan SAYA. Dia telah mengambil tempat saya. Sepatutnya sayalah yang harus dihukum TETAPI Dia yang dihukum dan digantung di salib oleh kerana dosa-dosa saya. Yohanes 19:30 : ‘Sudah Selesai’, kataNya Segala kerja hukuman yang sepatutnya untuk diri saya DIA telah harungi. Kita tidak boleh membersihkan hati, jiwa kita sendiri, kita tidak boleh membuat segala amalan baik untuk membersihkan diri kita sendiri dengan harapan semoga Tuhan menerima amalan kita dan dapat pahala kerana kita TIDAK SAMPAI ke taraf kemurnian yang dikehendaki Allah. Sesungguhnya, Tuhan Allah yang mencipta manusia, yang tahu asal usul kita, dan yang tahu apa yang di dalam hati kita, semestinya Dia juga tahu kita hanya manusia ciptaanNYa yang lemah penuh dosa dan tidah boleh dengan usaha sendiri menyucikan dan membersihkan diri kita dari dosa. Telah dinyatakan dalam Kitab Injil iaitu Joh 3:16 Karena Allah begitu mengasihi manusia di dunia ini,sehingga Ia telah mengirimkankan Kalimat-Nya yang tunggal, supaya setiap orang (Dia mengasihi saya) (setiap orang termasuk saya) yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan mendapat kehidupan sejati dan kekal abadi - di Akhirat nanti.
Kehidupan yang kekal selamanya dan bukan kematian. Hanya DIA sahaja yang boleh membersihkan dan menyucikan hati kita dari segala dosa-dosa kita. Inilah sebabnya mengapa Dia dilahirkan melalui seorang Perawan, Siti Mariam, dan telah memasuki dunia ini. Dia datang untuk mati disalibkan. Dia TIADA dosa, Dia TIDAK BOLEH berdosa, menyerupai manusia tetapi tidak mempunyai sifat semulajadi manusia iaitu kebolehan untuk berdosa. Dia diperanakkan bukan seperti manusia diperanakkan, tetapi melalui Roh Allah Sendiri. Siti Mariam hanya digunakan sebagai alat iaitu tubuh untuk mengirim Firman Tuhan yang hidup itu untuk nuzul -yakni turun, ke dalam dunia ini. Mariam sendiri tidak memiliki kuasa, atau keistimewaan yang khas. Tetapi, semua ini adalah dalam rancangan Allah. Tuhan Allah tahu yang kita manusia perlukan Penebus, iaitu seorang suci dan murni yang dapat menyelamatkan kita daripada hukuman dosa, jadi Dia berikan kepada kita satu-satu PuteraNya. Kita mesti, setiap insan dengan sendiri, dengan hati yang tulus ikhlas mengakui yang kita ini lemas dalam dosa kita sendiri dan perlukan PENEBUS dan PENYELAMAT yang telah dianugerahkan Allah itu kepada kita. Lalu kita setiap orang dengan sendirinya harus menerima dan percaya yang Dia telah menanggung hukuman segala dosa-dosa kita semasa Dia disalibkan. Kerana kasihNya kepada saya yang berdosa ini, saya sudah diampunkan dari segala hukuman dosa-dosa yang saya patut terima. Dia telah diwafatkan sesuai dengan kehendak Allah Sendiri, demi untuk kesejahteraan dan pemurnian jiwa raga saya. Sekarang, saya sudah bebas daripada hukuman dosa dan juga hambatannya yang laknat itu! Tuhan Allah telah mengampuni saya, demi hasil penebusan yang sudah pun dibereskan oleh Isa Al-Masih dengan muktamadnya. Syukur Alhamdulillah! Oleh kerana inilah saya telah membuat keputusan dengan sendiri, bukan dengan paksaan dan ganjaran dari mana-mana pihak, atau bukan dengan "kelahiran ke dalam agama Kristian"…saya telah membuat keputusan untuk menerima Nya dan kematian Nya disalib kerana saya, mengakui bahawa Dia adalah Rabbi dalam hidup saya sehari-hari. Dia telah mengampuni saya di dalam Sayidina Isa al-Masih, dan kini Dialah yang membimbing jiwa dan hidup saya dalam jalan-Nya yang lurus dan indah itu! Segala pujian kepada Allah atas perhubungan yang cukup istimewa ini!
1 Yohanes 1:7 berkata: '..darah Isa (as), Kalimat-Nya, telah membersihkan kita dari segala dosa.' Saya yang dahulunya terpisah daripada Tuhan disebabkan oleh kekotoran dosa-dosa saya, sekarang saya punya rumah di Syurga. Semuanya oleh kerana Sayidina Isa Al-Masih yang mengasihi diri saya, dan mengorbankan nyawaNya untuk diri saya. Jadi kehidupan saya sekarang ini, saya hidup dengan kuasaNya dan untuk kemuliaanNya. Segala beban dosa saya telah diambil olehNya apabila saya telah percaya akan kewafatan-Nya di atas salib. Saya seorang yang berdosa tetapi telah diselamatkan dari hukuman dosa kerana kasih kurnia-NYA bagi saya, yang saya tidak sama sekali layak untuk menerimanya, inilah Kasih dan Sayang Allah (swt) yang benar-benar sejati-Rahman dan rahim-Nya yang sudah pun saya nikmati, tetapi juga pada setiap hari saya masih sedang mengalami, melalui taufik dan hidayah-Nya itu.
Mahukah anda menghayati kepastian ini, teman-temanku? Saya sekarang sudah pasti dan tahu serta kenal siapa yang saya percaya. Tahukah anda siapa yang anda percayai? Ulangan 4:29 bersabda: 'Lalu kamu akan mencari TUHAN Allahmu, dan kalau kamu mencari-Nya dengan segenap hatimu, kamu akan menemukan Dia.' Carilah Tuhan Allah, teman-temanku, dengan segenap hati, selesaikan dengan Tuhan segala hutang dosamu itu dan pastikanlah yang segalanya adalah baik antara diri anda dan Tuhan Sendiri.
Temanku yang dikasihi, hakikat ini tidak berakhir di sini sahaja. Kepada kami yang percaya akan hasil Penebusan-Nya, kami juga tahu Penyelamat kami hidup kerana Dia telah dibangkitkan pada hari yang ketiga sesudah dia disalibkan, dan Dia akan datang kembali selepas itu! Soalan terakhir saya kepada anda ialah saatnya makin hampir. Sayidina Isa (as) akan kembali lagi. Apakah anda semua sudah bersedia untuk bertemu denganNya? Untuk memperolehi ketenangan jiwa yang abadi itu? Ini bukan hanya propaganda agama. Ini sebenarnya mencerminkan perhubungan peribadi yang erat dengan Tuhan Allah. Keputusan mestilah dibuat oleh setiap orang. Tidak cukup dengan hanya merasa baik dan alim dengan agama yang anda telah dilahirkan, TETAPI kita harus buat keputusan sendiri tentang Sayidina Rabbani ISA Al-Masih. Siapakah Dia sebenarnya dalam hati kamu, di dalam jiwa kamu? Dan apakah yang akan anda lakukan dengan pengetahuan kebenaran ini, dan tentang dosa-dosa kamu serta ganjaran mereka - yaitu MAUT dan perpisahan kekal abadi dari Syurga dan hadhirat Allah(swt) - untuk menghuni di Neraka jahannam selama-lamanya ?
Lewat kebelakangan ini kita lihat peperangan, kita dengar berita tentang peperangan, tsunami, gempa bumi, teroris, banjir, ribut, taufan, dunia ini semakin gelap dan menakutkan. Tidak kiralah sama ada kamu Muslim, Kafir atau Musyrik... Segala kegelapan ini boleh terjadi kepada sesiapa saja. Kitab Suci Injil bersabda ini hanyalah permulaan kesedihan dan keperitan, dan banyak lagi musibah-musibah akan mendatang yang jauh lebih dahsyat kemusnahannya. Amaran ini sangat PENTING!!!! Carilah Tuhan sementara ada masa, bersedialah untuk menemuiNya, dan pangillah akan Dia…
Wahyu 22:12 :
"Perhatikanlah ini!" kata Saydina Isa, "Tidak lama lagi Aku akan datang dengan membawa upah untuk membalas setiap orang menurut apa yang telah dilakukannya. Dan setiap lutut akan menyembah... "
Filipi 2:10-11 :
"Maka untuk menghormati Isa al-Masih, semua makhluk yang di syorga, dan yang di bumi, serta yang di bawah bumi, akan menyembah Dia. Mereka semuanya akan mengaku bahwa Isa al-Masihlah Rabbani; dengan demikian Allah Bapa dipermuliakan".
Sayidina Isa Al-Masih amat mengasihi setiap orang Muslim - TERMASUK ANDA, temanku. Dengan tangan yang terbuka Dia menunggukan kamu untuk datang kepadaNya untuk melepaskan bebanan dosa-dosa kamu kepadaNya dan Dia sanggup memberikan anda kedamaian, kesejahteraan jiwa serta kehidupan yang kekal - di Dunia mahupun di Akhirat nanti. Ini bukanlah hanya sesuatu 'ajaran agama barat' ataupun hasil "fikiran orang putih". Ini adalah kasih-sayang Tuhan YANG SEJATI kepada umat ciptaanNya yang sudah jatuh ke dalam jurang perpisahan daripada-Nya, tetapi masalah itu telah diselesaikan seratus peratus oleh Allah (swt) Sendiri - di atas salib. Temanku, doa-doa saya sentiasa menyertai kamu semua. Jika ada, sila tujukan soalan-soalan anda kepada alamat emel yang dipaparkan di dalam Lamanweb ini. Wassalaam.