DAFTAR KANDUNGAN
4. Hazrat Isa Penyelamat Atau Pembuat Onar (kekacauan)?
5. Membawa Tongkat Atau Tidak?
6. Matahari dan bulan mengelilingi bumi atau sebaliknya?
7. Amalan-amalan salih yang berhasil dari iman.
8. Nama Allah
4. Hazrat Isa Penyelamat Atau Pembuat Onar (kekacauan)? |
A. Allah mengutus anakNya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi untuk menyelamatkannya. (Yahya 3:17)
B. Jangan kamu menyangka, bahawa Aku datang untuk membawa damai di atas bumi, Aku datang bukan untuk membawa damai, melainkan pedang. Sebab Aku datang untuk memisahkan orang dari ayahnya, anak perempuan dari ibunya, menantu perempuan dari mertuanya, dan musuh orang ialah seisi rumahnya. (Matius 10:34-36)
Kalimat A. menghuraikan maksud Allah mengutus Hazrat Isa ke dunia. Tuhan sendiri tidak ingin membawa pedang, bukan. Allah berkeinginan untuk manusia diselamatkan. Namun manusia diberi kemampuan membuat pilihannya sendiri dan berada dalam keadaan berdosanya dia lazimnya bersifat memberontak terhadap Tuhan. Oleh kerana itulah boleh terjadi keadaan menurut B di atas, konflik antara manusia sesama sendiri kerana yang satu ingin mengikut Tuhan dan yang lain pula menolak jalan Tuhan.
Kalimat B. adalah gambaran tentang reaksi negatif terhadap kehadiran Isa al-Masih di dunia. Kegelapan dosa tidak tahan terhadap terang kebenaran yang dibawa bersama-samaNya, sehingga memberontak dan sifat pemberontakan ini yang mengakibatkan konflik yang dihuraikan disini. Isa di dalam Injil Matius 10:34-36 mengatakan bahawa konflik ini pun boleh terjadi dalam seisi keluarga.
Sepanjang sejarah terjadi banyak sekali kes anggota keluarga yang berselisih faham kerana ada anggota keluarga lain yang bertaubat apabila mengenal al-Masih dan menganut akidah Kristian. Bahkan di abad ke-20 sekarang, ada beberapa negara di dunia masih ada mereka di antara pengikut-pengikut al-Masih yang dibunuh oleh kaum keluarga sendiri kerana mereka tidak setuju dengan keputusan kerabat mereka memeluk agama Kristian.
Dalam hal ini, pedang dibawa, bukan oleh orang yang baru masuk agama Kristian, tetapi oleh penganut agama lain yang menuntut kematian anggota keluarga yang meninggalkan agama lamanya.
Ayat Matius 10:34-36 ini, sama sekali bukan bererti orang Kristian dengan sengaja mencari konflik dengan keluarganya. Sesuai perintah lain dalam Al-Kitab, orang Kristian harus menghormati dan mengasihi anggota keluarganya. Bahkan jikalau keluarga sendiri menjadi musuh, mereka harus tetap dikasihi kerana Hazrat Isa mengajar supaya orang Kristian mengasihi musuhnya (Matius 5:44).
Dalam hal ini, tidak ada apa-apa percanggahan di antara Yahya 3:17 dengan Matius 10:34-36, kerana reaksi negatif yang timbul terhadap orang yang masuk agama Kristian diakibatkan oleh dosa dan pemberontakan orang lain bahkan anggota keluarga sendiri yang bereaksi negatif iaitu mengangkat pedang.
Hazrat Isa di tempat lain mengajar supaya tidak menggunakan pedang, tetapi yang dimaksudkan dengan ayat Matius 10:34-36 ini adalah: pedang yang dibawa oleh mereka yang menolok dan memberontak terhadap pengajaran Hazrat Isa. Menurut beliau, tidak semua orang akan bereaksi dengan aman-damai terhadap pemberitaan Injil itu. Akan ada juga orang yang akan bereaksi terhadap pemberitaan Injil dengan mengangkat pedang melawan mereka yang membawa utusan Injil itu.
5. Membawa tongkat atau tidak |
A. Janganlah kamu membawa bekal dalam perjalanan, janganlah kamu membawa baju dua helai, kasut atau tongkat, kerana seorang pekerja patut mendapat upahnya. (Matius 10:10)
B. Dan berpesan kepada mereka supaya jangan membawa apa-apa dalam perjalanan mereka, kecuali tongkat, roti pun jangan, bekal pun jangan, wang dalam ikat pinggang pun jangan, (Markus 6:8)
Pertanyaan ini menuduh bahawa penulis Injil menimbulkan kontradiksi yang bersangkutan adanya izin atau larangan bagi murid-murid-Nya untuk membawa tongkat dalam perjalanan mereka.
Pertanyaan ini timbul kerana salah faham mengenai penggunaan bahasa Yunani, iaitu "ktaomai" dalam Injil Matius dan "airo" dalam Injil Markus, kedua-duanya yang diterjemahkan dalam Alkitab Bahasa Malaysia dengan menggunakan kata "bawa."
Dalam Injil Matius dapat kita baca kata "membawa" (Alkitab King James: "Provide" atau "sediakan") yang bersumber dari kata "ktaomai" dalam bahasa Yunani. Sesuai kamus bahasa Yunani, kata ini bererti, "mencari untuk keperluan sendiri, memperoleh, mendapatkan melalui proses pembelian atau proses lain."
Sebagai maklumat lagi, dalam Injil Matius terdapat kata lain yang digunakan dengan maksud transaksi pembelian, iaitu "agorazo" sehingga "ktaomai" harus diertikan lebih luas, iaitu fungsi logistik seperti "cari/peroleh/ambil" yang konsisten dengan makna kata "take" dalam bahasa Inggeris. Sebab itu, Hazrat Isa di Injil Matius mengatakan: "Jangan mencari sesuatu lagi selain apa yang ada padamu. Pergilah dalam keadaan seadanya."
Sedangkan kata bahasa Yunani untuk "membawa" dalam Injil Markus 6:8 adalah "airo" yang sesuai erti luas untuk "take" dalam bahasa Inggeris, iaitu 'mengambil/mengangkat dan membawa" seperti halnya dengan bagasi atau barang bawaan. Sehingga dalam hal ini, terdapat perbezaan erti pesan dalam Injil Matius dan Injil Markus. Injil Matius memesan supaya tidak "memperoleh" tongkat dan lain-lain dalam erti perolehan logistik sedangkan Injil Markus memesan supaya tidak "mengambil/mengangkat dan membawa" kecuali tongkat.
Injil Matius 10 dan Injil Markus 6 sama-sama mengatakan bahawa Hazrat Isa menyuruh murid-murid-Nya supaya tidak membawa perlengkapan tambahan. Sesuai dengan Injil Matius 10:10 mereka dilarang untuk "ktaomai" atau mencari dan memperoleh serta mengambil tongkat sebagai sebahagian dari perlengkapan perjalanan mereka. Sebaliknya menurut Injil Markus 6:8, mereka tidak dipesan untuk melepaskan atau membuang tongkat yang sudah ada pada mereka.
Jelaslah bahawa perbezaan kata bahasa Yunani antara ayat Injil Matius dan Injil Markus menunjukkan tidak ada percanggahan.
Namun jawapan ini bukan bersifat definitif, hanya merupakan penjelasan yang dimungkinkan. Perbezaan yang sangat kecil antara ayat-ayat ini tidak mempengaruhi kesamaan isi Injil pada umumnya.
Seandainya perbezaan ayat-ayat ini benar-benar merupakan percanggahan, pandangan kami terhadap Injil tidak persis seperti yang diajarkan kepada orang Muslim mengenai Al-Quran. Jika perbezaan ayat ini dijadikan puncak kontradiksi di Alkitab, sehingga Alkitab dianggap "penuh kontradiksi" dan "seluruhnya dipalsukan" maka anggapan demikian tentunya merupakan khayalan belaka.
Seandainya para juru tulis dan penterjemah Kristian bermaksud mengubah naskhah Injil yang asli, tentunya "kontradiksi" yang demikian sudah dihilangkan dan tidak ada dalam Injil yang ada dewasa ini. Perbezaan ini justru mendukung keaslian naskhah sebagai kesaksian yang ditulis melalui perantaraan manusia mengenai pelbagai peristiwa yang terjadi. Dalam hal ini, perbezaan ini menjadi tanda jelas bahawa tidak terjadi pemalsuan naskhah Injil sebagai tindakan sengaja.
6. Matahari dan bulan mengelilingi bumi atau sebaliknya? |
1. Sekarang mari kita lihat dari segi ilmu pengetahuan yang termaktub dalam Al-Kitab, memandangkan ada banyak sekali ayat yang membincangkan ini, maka saya pilih satu saja di antaranya untuk kita padankan dengan Al-Quran dan ilmu pengetahuan moden.
2. Dalam Yosua 10:12,13 mengatakan bahawa matahari dan bulan itu mengelilingi bumi (geosentrik), padahal yang sebenarnya adalah heliosentrik (bumilah yang mengelilingi matahari).
Bagaimana mungkin Tuhan salah dalam mewahyukan sesuatu hal yang telah diciptakanNya sendiri?
Dalam Kitab Yosua diuraikan kedudukan matahari dari perspektif Yosua. Hal ini lazim, kerana setiap orang yang menggunakan bahasa Inggeris juga berbicara mengenai "the rising of the sun" maupun "the setting of the sun" walaupun mengetahui bahawa bukan matahari yang mengelilingi bumi tetapi sebaliknya. Tidak ada perkataan di Kitab Yosua yang menunjukkan keadaan geosentrik.
Dalam hal ini, orang yang ingin mempersoalkan ayat-ayat Yosua ini perlu juga ingat akan ayat di Al-Quran yang berbunyi seperti berikut (Sura 18:86):
"Hingga apabila dia telah sampai di tempat terbenam matahari, ia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam ..."
Tentunya kaum Muslim berpegang pada keyakinan bahawa bumi berada dalam keadaan heliosentrik, iaitu bumi mengelilingi matahari. Meskipun Al-Quran menceritakan matahari yang terbenam di laut berlumpur hitam di bumi, kaum Muslim tidak menganggap ada faham geosentrik di dalam Al-Quran.
Sebaliknya, kaum Muslim cenderung mengatakan bahawa yang diceritakan di Al-Quran itu adalah perspektif terhadap matahari dilihat dari mata seorang manusia (Zulkarnain), yang memandang matahari terbenam. Yang diceritakan dalam kitab Yosua juga menggambarkan perspektif seorang manusia, kerana berdiri di atas permukaan bumi yang nampaknya tidak bergerak dalam kedudukannya berbanding matahari.
Jikalau Al-Quran boleh menceritakan mengenai matahari terbenam di laut berlumpur hitam dan hal ini tidak dianggap mengajarkan hubungan matahari-bumi yang geosentrik, maka demi konsistensi dan kejujuran pendapat, tentunya ayat-ayat di Yosua yang dipersoalkan di atas, juga tidak boleh dianggap mengajarkan keadaan geosentrik seperti dianjurkan. Oleh itu, tidak ada alasan bagi kaum Muslim untuk mempersoalkan ayat-ayat kitab Yosua yang disebut di atas, dan tidak ada alasan bagi mereka untuk menyangka bahawa Alkitab salah menceritakan ciptaan Tuhan.
7. Amalan-amalan salih yang berhasil dari iman. |
Setelah membuat kajian dengan fikiran dan hati yang terbuka, ada pengkaji-pengkaji yang setuju bahawa 'hujah-hujah (dari AlKitab/Bible) agak meyakinkan'. Bagi kami umat Kristian hakikat ini amat penting kerana kami percaya yang AlKitab itu ialah firman Tuhan. Apa yang dikatakan atau dihujahkan oleh AlKitab tidak bercanggah dengan sejarah atau situasi sekarang. Lebih penting lagi ialah 'kemurnian logik' yang terkandung dalam ajaran ajarannya.
Misalnya:
Ayat Efesus 2:8,9
"Hal itu demikian, kerana dengan rahmat Tuhan, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Isa al-Masih. Keselamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Tuhan. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu."
Ajaran-ajaran lain mengharapkan penyelamatan dari daya usaha sendiri - beramal dan berbuat baik dengan menderma, bersedekah dan mengumpul pahala sebanyak banyaknya. Apakah akan jadi kepada mereka yang tidak upaya untuk 'membeli' amalan amalan itu ? Apakah hanya mereka yang kuat, bertenaga dan kaya akan dapat kepujian lebih dari Allah? Penyelamatan yang datang kerana rahmat anugerah Tuhan melalui kepercayaan kepada Isa al-Masih yang diutusNya, memberi kesempatan kepada semua, tidak kira darjat, kebolehan atau kekayaan.
Akidah umat Islam sendiri berasaskan ajaran Quran dan kepercayaan mereka atas kitab itu. Mungkin para Muslim sendiri boleh meneliti adakah 'kemurnian logik' dalam ajarannya.
Bagi umat Kristian amalan-amalan baik adalah hasil dari iman kepada Isa al-Masih dan Penyelamatan yang dianugerah oleh Allah kepada mereka, dan bukan untuk 'membeli' pujian Tuhan atau satu usaha untuk memperolehi pahala supaya dapat diperkenankanNya.
Tentang tanggapan: Jika Agama Kristian itu betul kenapa ada salahlaku atau perbuatan terkutuk dari setengah orang yang mengaku atau dianggap penganut Kristian, kami ingin menjelaskan kesilapan besar tentang perkara ini. Yang pertama, bukan semua yang berkulit putih (seperti Bill Clinton) itu Kristian. Barat bukanlah Kristian. Kita perlu hapuskan salah anggapan ini. Saudara juga mungkin berharap orang lain tidak menganggap yang Arab itu Islam dan Islam itu Arab. Ramai orang, lebih-lebih lagi ahli-ahli politik, amat pandai merapatkan diri dengan pihak Gereja dan mengaku Kristian atau berkelakuan alim untuk mendapat simpati bila mereka sudah terkepit (asal kelakuan peribadi). Segolongan besar di Eropah itu jahil. Ramai pula yang mengaku Kristian kerana mereka lahir dalam keluarga yang mengaku Kristian tetapi tidak tahu langsung apa ertinya Kristian itu lain dari berpesta setahun sekali di hari Krismas. Negara-negara di Eropah dan Amerika tidak boleh secara menyeluruh dianggap negara-negara berakidah Kristian.
Yang kedua, adakah di antara kita yang mendengar cerita tentang seks bebas di kalangan paderi dan rahib? Pernahkah sumber dan punca cerita ini dikaji dan diselidiki dengan rapi? Adakah cerita ini boleh dipercayai atau dari pihak pihak tertentu yang matlamat mereka hanya hendak memburuk Vatican dan secara tidak langsung agama Kristian? Ini kita harus pastikan kerana banyak pihak yang mencari kesempatan dengan apa cara sekali pun. Saudara mungkin terkejut jika saya katakan yang umat Kristian sedang mengalami penindasan (persecution) yang amat sengit di Eropah dan di Amerika, lebih-lebih lagi dari media massa di sana.
Walaupun mungkin ada sedikit kebenaran dalam cerita itu, ianya mungkin telah dibesar-besarkan dan tidak adil kepada pihak tertentu.
Kita mesti faham bahawa individu-individu yang berkelakuan terkutuk itu adalah manusia biasa seperti kita juga. Mereka tertakluk kepada desakan dan godaan sehari-harian. Oleh kerana mereka digelar 'paderi dan rahib' tidak bermakna yang mereka terasing dan bebas dari desakan nafsu dan godaan ini. Kita harus pula lihat apa yang mendorong mereka menjadi paderi atau rahib itu. Adakah niat yang murni atau ada sebab sebab lain?
Seperti yang terdapat di kalangan ketua-ketua agama lain, ramai juga tersungkur tetapi tidak dapat publisiti yang serupa. Adilkah kalau kita buat kesimpulan dengan menumpu pandangan kita kepada kelemahan individu dan bukan kepada ajaran agama itu? Ini sekali lagi membawa perhatian kita kepada kemurnian logik agama Kristian yang berasas kepada anugerah Tuhan dan bukan kebaikan, kebolehan dan kelayakan individu.
Seorang Kristian yang tulen adalah seorang yang benar-benar menerima Isa al-Masih sebagai Penyelamat dan Rabbinya dan hidup mengikut amanat Isa al-Masih yang terkandung di dalam AlKitab. Seorang Kristian tulen menumpukan tenaganya hanya untuk memuliakan nama Allah dalam apa pun perbuatannya.
Nas Alkitab dari Ayat Yahya (John) 3:16 berbunyi :
"Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga dia memberikan anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal."
Kita manusia tidak dapat lari dari berdosa melainkan dengan pertolongan Tuhan. Untuk menebus keburukan sifat manusia ini satu korban perlu diadakan sebagai pembayaran. Oleh kerana kasih sayangNya Allah telah menyerahkan 'Anaknya' (erti anak di sini bukanlah seperti anak kandung yang kita fahami) sebagai korban. Inilah sehabisnya mulia korban yang dapat diterima - korban sempurna yang tidak ada apa-apa kecelaan atau kecacatan.
Tuhan tidak merendahkan martabatnya kerana dalam tiga hari Dia telah bangkit kembali. Ini membuktikan ketuhananNya dan keikhlasanNya.
Ada banyak bahan-bahan ilmiah seperti buku-buku dan laman-laman web yang lain, yang dapat meluaskan lagi pandangan dan pemahaman saudara dan saudari tentang agama Kristian yang tulen, kami mengesyorkan supaya kamu mengkajilah segala bahan-bahan ini dengan hati dan fikiran yang terbuka, bebas dari prasangka-prasangka yang telah meresapi tanggapan-tanggapan serong melalui cerita-cerita dan tafsiran-tafsiran salah yang telah ditabur ke dalam minda sejak dahulu lagi.
8. Nama "Allah" |
Allah ialah panggilan dalam bahasa Arab kepada Tuhan yang mencipta dunia ini dan segala yang ada di atasnya. Jadi sudah tentu tidak terdapat perkataan Allah di dalam kitab Injil dalam bahasa asal yang bukan dalam bahasa Arab. Dalam bahasa Inggeris Tuhan yang menjadikan alam dan Tuhan yang patut kita sembah itu disebut God (dengan huruf besar 'G') atau Lord (dengan huruf besar 'L'). Ini untuk membezakan dari tuhan-tuhan yang diada-adakan oleh manusia sendiri.
Umat Kristian Arab telah pun menggunakan perkataan Allah sebelum kemunculan era Islam di Hijazi dan sehingga hari ini. Lebih-lebih lagi, bahasa Arab memang bahasa ibunda mereka! Mereka tidak sekali-kali dipersalahkan kerana menggunakan perkataan itu.
Bahasa Melayu Indonesia dan Malaysia telah terpengaruh sedikit oleh bahasa Arab. Itu sebabnya terdapat kegunaan Allah di Indonesia dan Malaysia. Jadi, persoalan sebenarnya ialah persoalan bahasa.