TELAAHAN MENGENAI SAYIDINA ISA AL-MASIH SECARA WAJAR
Untuk sesiapa pun yang ingin menelaah kehidupan dan pelayanan Sayidina Isa Al-Masih secara ilmiah, terdapat beberapa sumber yang wajar dan munasabah dari segi kesuhufan dan sejarah. Ini termasuk bahan-bahan yang wujud sampai pada hari ini, bagi tujuan pengkajian dan untuk menelaah perkara tersebut, ini juga termasuk kajian transmisi bahan-bahan tersebut dari zaman Sayidina Isa sendiri - zaman pertama T.M., sehingga ke waktu penulisan dan catitan Kitab Suci Injil. Semua ini merangkumi Kehidupan, aspek-aspek penting Pengajaran dan Pelayanan baginda, termasuk segala peristiwa-peristiwa yang berkenaan dengan baginda. Melalui telahaan seperti ini, kita akan memperolehi kebolehan khusus untuk menterjemahkan Kitab Suci Injil/Perjanjnai Baru, secara tepat lagi betul.
Terdapat lima teks utama yang sangat berguna bagi bagi tujuan yang disebutkan di atas. Yang pertama ialah :
'Synopsis of the Gospels’ oleh Dr.Kurt Aland (ini adalah di antara bahan utama dan terpenting bagi kajian teks Perjanjian Baru),
tiga buku lain ialah karya Dr.Robert Stein yakni:
‘Studying the Synoptic Gospels' [Telaahan Injil Sinoptik],
'Jesus the Messiah’ [Isa Al-Masih] dan
‘The Method and Message of Jesus’ Teaching’ [Kaedah dan Risalah Ajaran Sayidina Isa].
Buku ‘Studying the Synoptic Gospels’ amat berguna untuk memahami bagaimana Perjanjian Baru dan Injil telah dibentuk dan dikitabkan. Diikuti oleh bagaimana Sayidina Isa telah melaksanakan ajaran-ajaranNya, dan diakhiri dengan telaahan Kehidupan baginda sendiri. Teks terakhir ialah: 'The Dictionary of Jesus and the Gospels', disunting oleh Joel Green. Sumber-sumber dan bahan-bahan ilmiah seperti inilah amat berguna sekali bagi penelitian dan penelaahan secara ilmiah untuk tahun-tahun yang akan datang.
Bila seseorang mahu mengkaji kehidupan tokoh sejarah yang tertentu, dia haruslah mencari sumber-sumber asli rekod utama bagi kehidupan itu. Sebagai contoh, Teks Dr.Stein, yang menelitikan tentang kehidupan Isa Al-Masih, bukanlah satu sumber yang utama ('primary source'). Ia adalah suatu contoh 'teks sandaran', ('secondary source/text') yaitu sebuah teks yang berdasarkan kepada teks-teks utama dan bahan-bahan asli dan sejati yang lain.
Kita mahu mengkaji sumber-sumber utama yang wujud hari ini bagi meneliti tentang kehidupan Sayidina Al-Masih Isa. Dalam hal itu, ada dua kumpulan atau kategori teks. Yaitu pertama, teks sumber bukan-Yahudi ('kafir')dan kedua, teks sumber Yahudi. Maksudnya kafir itu bukanlah suatu istilah ejekan atau jelekan, tetapi untuk menunjukkan sumber non-Yahudi dan non-Kristian.
I. Sumber-sumber Awal Bukan-Yahudi
I.i Pliny
Terdapat tiga jenis sumber awal bukan-Yahudi yang berkaitan dengan kehidupan Sayidina Isa Al-Masih. Satu ialah daripada Pliny, seorang gabenor kerajaan Roma di wilayah Bithinia atau pada hari ini ialah di negara Turki. Lebih kurang pada tahun 112/113 TM, beliau telah menulis sepucuk surat kepada Maharaja Roma tentang masalahnya dengan sekumpulan umat Kristian di wilayah itu. Dia telah berkata seperti berikut:
“setelah selidiki kumpulan ini, saya mendapati bahawa secara lazimnya, mereka akan berkumpul bersama-sama pada satu hari minggu yang tertentu, dan menyanyikan lagu kepada Al-Masih sebagai Ilah.”
Itu sajalah apa yang kita memperolehi daripada Pliny. Beliau tidak miliki sumber secara langsung bagi kehidupan Isa Al-Masih, tetapi dia telah dapat memerhatikan dengan tepatnya amalan-amalan umat Kristian awalan pada zaman itu yang telah menyembah Sayidina Rabbani Isa.
I.ii Tacitus
Seorang lain bernama Tacitus, adalah seorang ahli sejarah bangsa Roma. Di dalam karyanya berjudul ‘Annals’ beliau menulis tentang penganiayaan atas umat Kristian pada waktu pemerintahan maharaja (kaisar) Nero. Dia telah bertulis pada tahun 115 TM bahawa:
“Kristus, pengasas gerakan itu, telah dijatuhkan hukuman mati di atas salib pada zaman pemerintahan kaisar Tiberius. Hukuman itu telah dijatuhkan oleh prokuretor (laksamana) Pontius Pilatus. Dengan ini ajaran itu telah dihentikan buat sementara waktu, tetapi telah muncul semula bukan saja di wilayah Yudea-kampung halaman ajaran sesat ini, tetapi juga di ibu kota Roma, di mana segala sesuatu yang anih, pelik dan jelik dalam dunia ini berkumpul serta dapat ikutan!”
Ada kemungkinan bahawa Tacitus telah memperolehi maklumat ini bukan hanya daripada orang-orang Kristian di waktu itu, tetapi sebagai seorang ahli sejarah, beliau telah menyelidiki rekod-rekod sejarah dan mendapatinya daripada tulisan Pontius Pilatus dalam suratnya kepada pemerintah Roma. Dari sumber-sumber beginilah, beliau telah memperoleh maklumat tentang pengikut-pengikut Kristus yang sudah wujud pada zaman itu. Dan maklumat daripadanya mengesahkan hakikat bahawa Isa Al-Masih telah mati disalib.
I.iii Seutonius
Sumber non-Yahudi (‘kafir’) yang ketiga, ialah Seutonius, seorang tokoh yang telah menulis karya ’Kehidupan 12 Kaisar’ itu, sekitar tahun 120 T.M. Dalam catatan kehidupan Kaisar Klaudius, kita dapat rujukan kepada satu peristiwa rusuhan di kota Roma yang telah terjadi pada tahun 49 T.M. oleh orang-orang Yahudi akibat hasutan seorang yang bernama ‘Chrestus’. Ini telah berakibat dalam pengusiran semua orang-oang bangsa Yahudi daripada kota Roma!
Paling menarik sekali ialah, di dalam Kisah Rasul-rasul, kita juga mendapati rekod peristiwa ini. Dalam Kisah Rasul-rasul (KRR) 18 ayat 2, rasul Paulus telah bertemu dengan Priskila dan Akuila di kota Korintus, di mana kedua-dua orang ini disebutkan oleh Lukas, telah baru datang dari kota Roma kerana Klaudius telah perintahkan supaya semua umat Yahudi diusir keluar daripada kota itu.
Kebanyakan ahli-ahli sejarah tidak percaya bahawa rusuhan pada 49 T.M. itu telah berlaku akibat didalangi oleh seorang yang bernama ‘Chrestus’, tetapi rusuhan itu telah berlaku di antara umat Yahudi DENGAN umat Yahudi yang lain yang beragama Kristian; dan pertembungan mereka ini adalah mengenai Sayidina Isa Al-Masih (‘Chrestus’/Al-Masih). Akibatnya, semua umat Yahudi telah diusir dari kota Roma, atas titah perintah maharaja Kaisar!
Amat menarik juga ialah dalam satu-satunya surat rasul Paulus yang ada menyentuh tentang perkara kepatuhan masyarakat kepada pemerintah, ialah suratnya kepada umat Kristian di kota Roma. Mungkinkah beliau peka akan peristiwa rusuhan antara umat Kristian Yahudi dengan umat Yahudi bukan-Kristian yang telah berlaku itu, dan dari itu Paulus telah menasihati umat Kristian di situ supaya jangan berkelakuan sedemikian terhadap kuasa pemerintah di atas mereka? Ini amat mungkin sekali.
Mengapakah hanya ada 3 sumber non-Yahudi tentang pergerakan Kristian pada zaman Abad kedua (tahun 115 TM dan sekitarnya)? Mengapakah tidak ada rekod-rekod ‘para kafir’ lain dan lebih awal yang bersabit dengan peristiwa sayidina Al-Masih Isa pada waktu itu?
Apabila Sayidina Isa telah dilahirkan di kota Baitulaham, wakil-wakil penjajah Roma tidak ‘menelefon/SMS serta-merta kepada’ kuasa pemerintah di Roma mengisytiharkan bahawa “Raja segala raja sudah dilahirkan, Al-Masih yang dijanjikan itu sudah dikirimkan ke dunia ini dan peristiwa paling besar di dunia sudah terjadi, jadi ubahkanlah semua kalendar anda pada saat ini!”
Sebaliknya, para ahli sejarah kafir tidak akan mengambil-tahu tentang peristiwa-peristiwa awalan yang penting dalam sejarah agama Kristian. Lagi pun, pergerakan Kristian pada waktu itu dikira sebagai suatu kelompok terpencil dan tidak mustahak. Tetapi, apabila pergerakan ini mulai merebak dan berkembang pesat di kalangan masyarakat di waktu itu, barulah para ahli sejarawan kafir (bukan-Kristian) mengambil tahu dan mula mengulas tentang pergerakan Kristian tersebut.
Walau pun begitu, proses ini mengambil masa untuk bertumbuh. Dan mengikut data sejarah, para ahli sejarah bukan-Kristian atau kafir, telah membuat ulasan, catatan serta ulasan-ulasan mereka tentang agama Kristian, hanya pada dekad yang kedua, abad yang kedua Tahun Masehi.
II. Sumber-sumber Awal Bangsa Yahudi
Terdapat juga sumber-sumber lain bagi rekod dan data sejarah pergerakan Kristian yang awal. Sumber-sumber ini juga adalah dari kumpulan bukan-Kristian yakni dari umat Yahudi dan ahli sejarah Yahudi.
II.i Josephus
Sumber yang termasyhur di antara mereka ialah seorang bernama Josephus. Josephus telah lahir pada tahun 37 T.M. dan meninggal dunia pada tahun 100 T.M. Beliau adalah seorang pemimpin ketenteraan umat Yahudi yang menentang kuasa Roma dalam satu pemberontakan yang berlaku dari 67 T.M. ke 70 T.M. Dalam kejadian itu, beliau telah ditangkap oleh kuasa Roma. Ceritanya amat menakjubkan.
Apabila beliau telah bertemu dengan Jenderal-jenderal Vespasian dan Titus, dia telah menanggapi mereka sebagai bakal pemimpin Roma (kaisar). Mereka pun terpegun dengannya dan menganggapinya sebagai seorang sejarawan yang disegani, walau pun Josephus merupakan bekas musuh dengan mereka.
Di dalam karya beliau “Antiquities of the Jews” (‘Sejarah Umat Yahudi’), Josephus telah mencatatkan dalam Kitabnya yang ke-18, Bab ketiga, perenggan 3, mengenai Isa Al-Masih sebagai berikut :
“Pada waktu itu telah hidup seorang yang penuh dengan hikmat, yang bernama Isa. Dia mungkin lebih daripada seorang yang berhikmat. Kerana beliau telah melakukan kerja-kerja ajaib dan menakjubkan, serta mengajar kebenaran kepada sesiapa yang menerimanya dengan hati yang terbuka..
“Dia telah mengajar ramai umat Yahudi dan juga umat Yunani. Beliau ialah si Mesias/Al-Masih itu. Apabila Pilatus telah mendengar tuduhan-tuduhan musuh-musuh beliau yang berkedudukan tinggi, dia telah menjatuhkan hukuman mati disalib keatasnya. Mereka yang dari mula-mula telah mengikutinya, tidak mengurangkan kesayangan mereka bagiNya.
“Pada hari yang ketiga dari penyalibanNya, Dia telah menjelma kepada pengikut-pengikutNya, kerana para Nabi-nabi, telah bernubuat bahawa peristiwa-peristiwa serta perkara-perkara ajaib seperti ini akan berlaku mengenai-Nya.
“Pengikut-pengikut-Nya serta umat-Nya yang bergelar Kristian itu masih ada sehingga hari ini, dan mereka masih belum pupus lagi.”
II.ii Talmud, Mishnah & Gemara
Sumber-sumber Yahudi lain yang ‘bersaksi’ kepada kewujudan dan pelayanan Yesus Kristus adalah daripada kitab-kitab Talmud. Talmud umat Yahudi pula boleh dibahagikan kepada dua bahagian – yakni Mishnah dan Gemara. Mishnah itu adalah tradisi lisan umat Yahudi yang mula-mula telah diajari dari tahun 200 Sebelum Masihi kemudian, sehingga 200 Tahun Masihi.
Tradisi lisan umat Yahudi ini juga ada tafsirannya, dan tafsiran-tafsiran ini disebut sebagai ‘Gemara’. Gemara telah dituliskan dalam Bahasa Aramik, sebaliknya, Mishnah pula telah dituliskan dalam Bahasa Ibrani (Hebrew). Kedua-dua koleksi ini digabungkan dalam satu koleksi besar yang disebut sebagai ‘Talmud’. Ada DUA Talmud yang wujud bagi umat Yahudi. Mereka adalah Talmud Babylonia (500 T.M.) dan Talmud Yerusalem (400 T.M.). Dalam kedua-dua Talmud ini, kandungan Mishnahnya adalah pada dasarnya, sama, tetapi kandungan Gemara mereka adalah berbeda.
Di dalam koleksi Talmud ini, terdapat kitab-kitab yang disebut sebagai ‘tractate’ – lebih kurang mirip seperti Buku-buku di dalam Al-Kitab hari ini. Dalam Tractate inilah terdapat rujukan kepada Yesus Kristus. Misalnya, di dalam tractate Sanhedrin 43a (yaitu Rujukan tractate Sanhedrin 43a), terdapat pernyataan ini:
“Pada Hari sebelum Hari Paskah (Passover), Yeshu (Sayidina Isa) telah dihukum gantung. Selama 40 hari sebelum hukuman itu dijatuhkan, pewarta telah diutus untuk memberitahu khalayak ramai bahawa ‘Dia (Isa) akan direjam dengan batu oleh sebab dia telah mengamalkan ilmu sihir, serta dia telah menggoda Israel untuk menjadi murtad.
“Sesiapa yang ingin menyatakan kata-kata pembelaan bagi pihaknya sila tampil kedepan.’
“Tetapi oleh kerana tidak ada kata-kata pembelaan saksi yang memihak kepada Yesus, beliau telah digantung pada hari sebelum Hari Paskah.”
“Para Rabbi (guru-guru Taurat) telah mengajar bahawa Yeshua (Yesus) itu mempunyai lima orang pengikut; yakni Matthai, Nakkai, Netsah, Boonie dan Todhah.”
Begitulah sumber agama Yahudi menyenaraikan murid-murid Yesus.
Bolehkah sumber maklumat Yahudi ini dianggap penting? Boleh jadi juga, tetapi sebaliknya juga, pernyataan di atas juga merupakan tindak-balas atau reaksi penganut agama Yahudi yaitu Judaisme terhadap proklamasi atau tuntutan umat Kristian awalan pada waktu itu.
Umat Kristian menuntut bahawa Yesus Kristus tidak diberi peluang pembicaraan secara adil dan saksama. Orang Yahudi pula menafikan hal itu dengan mengatakan Yesus dibicarakan selama empat-puluh hari, dalam pada mana saksi-saksi telah dicari untuk ‘pembelaannya’.
Rujukan-rujukan lain juga didapati dalam sumber Tractate Shabbat, yakni Shabbat 104. Rujukan ini berbunyi demikian :
“Terdapat rujukan kepada seorang putera ‘anak Pandera’ (atau ‘Panthera)’ seperti berikut: ‘Marilah kita kembali kepada kata-kata umat Yahudi di mana mereka sedang bicara dengan ibunya, yang telah menyatakan bahawa semasa penghamilannya, dia (si-ibu) telah dihalau keluar dari rumahtangganya oleh tukang kayu yang telah ditunangkan kepadanya, atas tuduhan berzina.
”Selepas itu, si-ibu ini telah melahirkan seorang anak lelaki kepada seorang askar yang bernama ‘Pandera’(‘Panthera).
“Inilah rupanya penyangkalan penganut agama Yahudi kepada ajaran Kristian zaman tersebut, yang telah mengajar bahawa Yesus telah dilahirkan oleh seorang “Parthenos” yakni, seorang dara dan perawan.
” Tetapi, sebaliknya, umat Yahudi telah menafikan itu, dengan usul balas(counter-claim) mereka bahawa kononnya Yesus dilahirkan kepada seorang lelaki bernama ‘Panthera’- mereka telah membalikkan huruf konsonan ‘r’ dengan konsonan ‘n’. Hasilnya Yesus bukanlah lahir kepada seorang perawan (‘Parthenos’), tetapi kepada seorang lelaki bernama ‘Panthera’!
Inilah contoh-contoh dakyah anti-Kristian di zaman itu, sebenarnya.
Hasilnya, dari kitab Talmud, kita dapat menyatakan dengan jelas bahawa Yesus telah dilahirkan oleh Maryam, walaupun orang Yahudi menuduh bahawa Yesus itu adalah ‘anak luar nikah Panthera’. Dia telah dibicara di depan sidang Sanhedrin sebagai pendusta. Walau pun dia harus di rejam batu sebagai hukuman lazim bagi ‘kemurtadannya’, sebaliknya, dia telah digantung (di atas salib) sampai mati.
Dari sumber Talmud juga, dikatakan bahawa Yesus telah melakukan banyak mukjizat-mukjizat, tetapi itu semua bukanlah daripada Tuhan, sebaliknya mukjizat-mukjizat tersebut hasil daripada ‘amalan-amalan sihirnya’; yang telah ‘dipelajarinya di Mesir’ konon. Perhatikanlah kemiripan tuduhan dalam Talmud ini dengan catatan dalam Injil, bahawa Yesus juga telah dituduh melakukan mukjizatNya dengan ‘kuasa putera roh-roh jahat’. Talmud juga ada menyatakan tentang perbicaraan Yesus.
Jika kita mencari dari sumber-sumber ‘bukan-Kristian’, contohnya sumber-sumber Yahudi dan ‘Kafir’, bagi fakta-fakta kehidupan Sayidina Isa, inilah hasilnya. Pendek kata, hasilnya cukup terhad dan terbatas.
Kesimpulannya bagi kita ialah, untuk menelaah mengenai kehidupan dan pelayanan Sayidina Isa Al-Masih secara wajar, berilmiah dan dengan lebih lanjut, kita harus menimba daripada sumber-sumber ilmiah Kristian.