Bilakah Kononnya Berlaku Pemindaan Kitab Suci Injil ? - Pengakuan Tokoh-tokoh Islam dan Kesaksian Sejarah
Tuduhan bahawa teks firman Tuhan telah sengaja diubahkan dinamakan "Tahrif-i-lafzi". Ramai orang Muslim terikut-ikut hujah polemis Islam Zaman Pertengahan ini, yang sebenarnya tanpa apa-apa dasar yang kuat dan tanpa apa-apa bukti-bukti yang kukuh. Tahukah anda bahawa terdapat tokoh-tokoh dan pemikir Islam yang sudah mengkaji dan berfikir dakwaan ini semasak-masaknya? Tokoh-tokoh ini mengakui bahawa dakwaan keatas umat Yahudi maupun Kristian ini tidak dapat dibuktikan dengan muktamadnya! Misalnya Tuan Sayyid Ahmad Khan, Pengasas Kolej Aligarh, Pakistan, telah tulis bahawa:
"Pada pendapat kami para Muslim, tidak ada apa-apa bukti bahawa korupsi teks Kitab-kitab Suci ('tahrif-i-lafzi') telah berlaku."
Tuan Sayyid ini telah memetik daripada dua tokoh Islam sebagai mendukung pernyataan beliau ini : Imam Bukhari dan juga Fakharuddin Razi .
Fakharuddin Razi mengutip daripada Ibni Abbas, seorang anak saudara Nabi Muhammad, bahawa:
"Umat Yahudi dan umat Kristian awal disyaki mengubah teks Taurat dan Injil. Tetapi menurut pendapat tokoh-tokoh dan ulamak Islam perbuatan ini adalah tidak mungkin, Kerana Kitab-kitab itu sudah pun dikenali ramai dimuka umum dan juga sudah tersebar amat luas. Juga mereka telah diwarisi oleh satu generasi ke generasi yang berikutnya."
Kesaksian ini benar. Dan juga terdapat bukti-bukti kukuh yang menyokong penyataan ini. Kami minta para pembaca untuk memberi cukup masa berfikir dan merenunginya semasak-masaknya. Jika seekor ibu ayam yang sudah bertelur dengan cepatnya meninggalkan telur-telurnya, tidak mungkinlah telur-telur itu akan menetas. Dalam cara yang sama, minda yang tidak mahu meneliti kesemua fakta-fakta dan bukti semasak-masaknya, tidak akan mencapai hakikat yang sebenarnya.
Kita bermula dengan meneliti petikan-petikan dari tokoh-tokoh Islam.
Pengakuan Tokoh-tokoh dan Ulamak Islam
Muhammad Abduh (Mesir 1849-1905) mengakui bahawa:
"Tuduhan korupsi/pemindaan teks Kitab Injil sesungguhnya tidak berasas sekali. Adalah MUSTAHIL bagi umat Yahudi dan Kristian di merata tempat berkomplot dan bersubahat meminda dan mengubahsuai teks Kitab-kitab Suci mereka. Walau pun andainya mereka di tanah Arab telah melakukannya, perbedaan diantara kitab-kitab mereka dan kitab-kitab umat Nasrani Kristian di tempat lain-misalnya di Eropah dan di Syam akan berbeda secara begitu jelas ketara."
Muhammad Abduh adalah seorang tokoh ilmu tauhid yang telah mengajar di Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir.
Maulawi Muhammad Said (Pakistan) telah berkata:
"Ada orang Muslim yang berhemat bahawa Kitab Injil telah di dipinda dan diubahsuai. Tetapi sebaliknya TIDAK SATU AYAT AL-QURAN PUN yang menyatakan Kitab Injil atau Taurat telah dikorupsikan. Ada ayat-ayat yang mengatakan yang orang Yahudi telah menukar maksud dan makna sesuatu ayat semasa memberi keterangan mereka -tetapi BUKAN umat Kristian yang telah buat korupsi begitu! Jadi, umat Kristian adalah tidak bersalah dari tuduhan ini! Kesimpulannya, teks Injil dan Taurat tidaklah diubahsaui."
Sayyid Ahmad Husayn Shawkat Mirthi:
"Umat Islam telah diperdayakan oleh khabar angin yang menonjolkan kononnya Kitab Injil telah diubahkan/korupkan. Tetapi mereka tidak dapat membuktikan mana-mana ayat yang telah diubah, bila waktunya, dan siapakah yang melakukannya.
Adakah umat di muka bumi ini yang begitu terkutuk sehingga mereka mampu menghapuskan Kitab Allah mereka dengan tangan mereka sendiri..?? Dakwaan bahawa Tuhan telah memansuhkan Kitab Injil dan Taurat serta mengembalikan kedua-duanya ke syurga adalah satu tindakan mendustai dan mengingkari Allah."
Sesungguhnya terdapat ramai tokoh-tokoh dan pemikir-pemikir Islam agung lain yang telah menerima dan mengakui kesahihan teks Injil dan Perjanjian Baru. Untuk menghuraikan nama-nama mereka disini adalah sesuai bagi karangan ini. Kesaksian mereka membuktikan bahawa dialog di antara para Muslim dan Kristian tidak usah dibelenggui oleh tuduhan yang telah dipelopori oleh Ibn-Khazem -seorang polemis Islam dari zaman pertengahan.
Dua ahli sejarah Islam yang agung, Al-Mas'udi (meninggal 956 T.M.) dan Ibn-Khaldun (meninggal 1406 T.M.) telah memegang kepada kesahihan teks Al-Injil.
Empat orang ahli ulamak yang terkenal pun telah menyetujui hakikat ini: Ali at-Tabari (meninggal 855 T.M.), Qasim al-Khasani (meninggal 860 T.M.), 'Amr al-Ghakhiz (869 T.M.) dan tokoh yang terutama, imam Al-Ghazzali (1111 T.M.).
Pandangan ini pula disokong oleh Abu Ali Husain Ibn Sina, lebih dikenali di Barat sebagai 'Avicenna' (m. 1037 T.M.).
Al-Bukhari (m.870 T.M.) yang terkenal kerana mengumpulkan hadith-hadith yang terawal, telah memetik daripada Al-Qur'an sendiri (Surah Ali-Imran 3 ay.72,78) bagi membuktikan bahawa teks Al-Kitab Al-Mukaddis, yakni Kitab Injil, tidak pernah dipalsukan.
Akhir kata, seorang tokoh Muslim terkemuka di zaman moden, Muhammad Abduh, Sayyid Ahmad Khan, seorang 'ulamak Islam moden' yang telah menerajui pembaharuan sosial pada era moden ini, telah menerima keputusan-keputusan sains moden. Beliau telah berkata:
"Bersabit dengan teks Al-Kitab (Bible), ia tidak mengalami apa-apa perubahan. Juga tiada sesiapa yang dapat mengemukakan sesuatu teks (alternatif) yang berbeza sebagai teks yang sahih".
Bersyukurlah kepada Tuhan kerana kesaksian yang jujur tokoh-tokoh ini!
Jadi, bilakah konon berlakunya pemindaan Kitab Suci Injil ?
Untuk mencari jawaban yang munasabah bagi soalan ini, Umat Kristian berhak bertanya beberapa soalan sampingan penting yang berkaitan dan bersabit dengan perkara pokok itu. Yaitu :
1] Jika kononnya Al-Kitab mereka pernah diubah, bilakah, dimanakah DAN bagaimanakah berlakunya perkara ini ?
2] Jikalau Isa Al-Masih sudah mengambil Kitab Suci Injil baginda kembali bersama baginda ke Syurga, kononnya, apakah tujuan ketanzilannya sebelum itu ?
3] Kenapakah umat Manusia terabai tanpa apa-apa bimbingan sehingga munculnya Muhammad, dengan kononnya 'kehilangan Kitab Suci Injil' itu ?
4] Al-Quran sendiri telah mengakui bahawa Hazrat Isa Al-Masih "telah belajar Taurat dan Injilnya" menurut Surah 5 ayat 11. Dari pengakuan ini, serta nas-nas al-Quran yang lain menunjukkan bahawa kedua-dua Kitab Taurat dan Injil bukan saja wujud dalam zaman nabi Muhammad, malah telah dibacakan dan diimani umat Kristian sebelum zaman beliau. Jadi, jika terdapat apa-apa perubahan dalam kitab-kitab tersebut, ia harus berlaku selepas pemergian nabi Muhammad.
5] Apakah Allah itu tidak berkuasa ke atas firman-Nya? Kenapa dibenarkan ciptaan-Nya sehingga dapat meminda dan bertukar-tukar firman Tuhan yang digelar "Maha Kuasa" itu !? Sudah jelas dengan hujah tersebut, ciptaan Tuhan itu (Manusia) memiliki lebih kuasa dan berupaya untuk menidakkan dan mengubahkan kata-kata Tuhan-Penciptanya!
6] Apa pula dengan nas al-Quran yang tuntut bahwa 'Tiadalah yang mengubah kalimat-Nya' Surah 6/115, atau 'Tiada bertukar-tukar kalimat (firman) Allah..' - surah 10/64 dan 'Kami (Tuhan) memeliharanya (firmanNya) (dari segala pemindaan).' - surah 15/9. Jelaslah hujah teori 'pemindaan kepada teks Injil sebagai firman Allah' itu bercanggah dan bertentangan secara terus-terang dengan nas al-Quran.
Walau bagaimanapun, penelitian yang ringkas keatas sejarah kitab-kitab tersebut akan dengan jelas menunjukkan bahawa Kitab Suci umat-umat Yahudi dan Kristian sezaman dengan nabi Islam Muhammad ADALAH SAMA DENGAN KITAB-KITAB SUCI YANG MEREKA TELAH MILIKI SEBELUM kemunculan Nabi Islam.
Pengkajian menurut sumber-sumber sejarah seterusnya akan dengan jelas membuktikan kesahihan Kitab Al-Mukaddis yakni Kitab Suci Injil, yang terpelihara daripada macam-macam 'korupsi' pemindaan dan lain-lain tuduhan melulu.
Pada tahun 90 TM, lebih daripada lima ratus tahun sebelum kemunculan al-Quran, alim-ulamak Umat Yahudi telah bersidang di Sinod (Majlis) Jamnia. Di sini mereka telah mengesahkan dan menegakkan Kitab-kitab Taurat, Zabur dan Nabi-nabi sebagai sah dan berwibawa, tidak tecela oleh pemindaan atau perubahan manusia. Sudah terbuktilah pada abad itu bahawa Kitab Taurat tidak mengalami apa-apa perubahan dan ini disokong dengan perjumpaan Skrol-skrol (masahif) Laut Mati pada tahun 1947 dan telah dikajiselidik dengan mendalam serta cukup panjang dan lebar.
Umat Samarii (Samaritans) yang telah wujud di tanah Palestin dan Jordan berkurun-kurun sehingga ke hari ini, hanya mengakui Taurat sebagai Kitab berwibawa dan sah mereka. Mereka tidak menerima apa-apa Kitab yang ditulis selepas tahun 722 SM, yakni tahun kejatuhan Kota Samaria. Ini berarti Kitab Pentateuch yaitu Taurat yang ada pada kita hari ini sudah pun wujud pada kurun itu. Sinod Jamnia telah menolak segala masahif Kitabiah yang ditulis selepas tahun 400 SM. - Ini bererti segala-gala Kitab-kitab, buku-buku dan tulisan dalam Perjanjian Lama (Old Testament) Al-Kitab sudah wujud DAN diperakui DAN disahkan Umat Yahudi pada 90 TM.
Tidak ada bukti menunjukkan mana-mana kelompok Yahudi sehingga ke era Kristian yang mempersoalkan kesahihan Perjanjian Lama dalam Al-Kitab. Sebaliknya, Hazrat Isa al-Masih sendiri mendukung kesahihan Perjanjian Lama dalam kata-kata baginda seperti berikut:
"Lalu Hazrat Isa menerangkan kepada mereka apa yang tertulis tentang-Nya daripada Kitab-kitab Musa dan para Nabi dalam Kitab Suci."
Kemudian, Dia berkata kepada mereka, 'Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersama-sama denganmu dahulu: Segala perkara yang tertulis tentang Aku dalam Taurat Musa, Kitab-kitab Nabi dan Mazmur (Zabur) pasti akan berlaku.'"
Lukas 24 : 27 & 44
Tidak dapat apa-apa dalil langsung yang menunjukkan mana-mana kumpulan Yahudi di Palestin pada zaman Kristian-yakni pada zaman Almasih, telah mencurigai dan mencabar kewibawaan Taurat (yaitu Perjanjian Lama); bandingkan dengan kata-kata Isa sendiri di atas. Hakikatnya ialah : Injil bersaksi bahawa ia adalah kemakbulan segala-gala nubuat-nubuat dan pembayang yang wujud di dalam Taurat (Perjanjian Lama), ini pula menunjukkan bahawa kewibawaan Taurat sudah pun diterima dan diakui ramai dengan ketaranya di kalangan umat Yahudi, pada abad pertama Tahun Masehi. Jika ada apa-apa pencerobohan kepada kesahihan Kitab Taurat di zaman itu, sudah tentu umat Kristian akan mendedahkannya sebagai penyelewengan, dan juga benar jika sebaliknya.
Bersabit dengan Injil (yakni Perjanjian Baru dalam Alkitab) pula, tidak ada bukti-bukti yang kukuh atau meyakinkan yang dapat menunjukkan apa-apa pemindaan atau perubahan yang telah dibuat keatas Kitab Injil oleh siapa, di mana, bila ia telah diubah, dan bagaimana perubahan-perubahan tersebut telah berlaku. Satu lagi hakikat yang amat menarik juga ialah kumpulan pembidaah Arian sendiri tidak pernah membuat bantahan atau tuduhan-tuduhan itu. Walaupun mereka boleh buat tuduhan tersebut baik pada persidangan Majlis Nicea pada TM 325 atau pun di persidangan Majlis Chalcedon pada TM 451! Tetapi mereka tidak pernah buat begitu !
Mushaf Kitab Suci Injil yang tertua hari ini adalah koleksi papyrus yang mengandungi Injil Yohanes 18, berasal daripada Mesir. Kini mushaf itu disimpan di Perpustakaan John Rylands, Manchester University. Koleksi ini bertarikh dari tahun 135 Tahun Masehi. Kesemua dua-puluh tujuh Buku yang dikenali sebagai Perjanjian Baru hari ini, sudah pun lengkap dan termaktub sebagai satu Kitab sebelum akhir abad kedua Tahun Masehi.
Ada tiga hakikat penting yang harus diambil-kira oleh sesiapa yang mengkaji sejarah Mushaf-mushaf Kitab Suci Injil :
1) Ramai daripada generasi terawal umat Kristian-para hawarii dan pengikut-pengikut pertama Hazrat Isa, masih HIDUP pada permulaan Abad Masehi yang kedua, dan juga sudah tentu, anak-anak mereka. Mereka semua ini adalah saksi-saksi hidup kepada pengajaran dan kehidupan Isa Almasih. Jika terdapat apa-apa penyelewengan dalam rekod ajaran, kehidupan dan peristiwa-peristiwa yang menyusul bersama-sama Isa Almasih itu, sudah tentu bantahan-bantahan akan ditimbul oleh saksi-saksi hidup ini!
2) Kitab-kitab ini, termasuk salinan-salinan mereka, sudah pun tersebar luas di sekitar jajahan-jajahan disekeliling Laut Mediterranean. Jika terdapat apa-apa penyelewengan pada kandungan Kitab Suci Injil itu, sudah pasti mereka akan dapat dikesan dan diketahui oleh umat-umat dan pengikut Kristian di kawasan-kawasan yang lain. Dan ia akan dicabar untuk ditentukan kesahihannya secukup-cukupnya.
3) Jikalau umat Kristian yang terawal telah membidaah ajaran Hazrat 'Isa yang asli, dan menyebarkan penyelewengan mereka pula, mereka akan terpaksa merahasiakan ajaran 'Isa yang asal itu. Untuk mencapai perahsiaan begini, sekurang-kurangnya mereka memerlukan persubahatan daripada kuasa penjajah di zaman itu! Sebaliknya, umat Kristian pada abad pertama sampai ke abad ketiga, tidak pernah menerima pertolongan apa-apa dari kuasa Roma di zaman mereka, tetapi sebaliknya, mereka telah dianiaya dan ditindas sekeras-kerasnya di bawah Empayar Rum. Bukan saja umat Kristian tidak menerima apa-apa pertolongan atau 'persubahatan' dari kerajaan Rum, ajaran Injil umat Kristian begitu bercanggah dengan agama Roma dengan berhala-berhala dan penyembahan maharaja mereka. Sesungguhnya catatan sejarah melalui Gabenor Pliny, seorang Gabenor Roma di jajahan Bythinia (kini Turki moden), mencatatkan pada 112 Tahun Masehi, bahawa umat Kristian telah mengakui ketuhanan 'Isa Almasih dari permulaan umat Kristian lagi. Ini secocok dan serasi dengan lunas-lunas Injil yang terawal. Sudah jelas bahawa Kitab Suci Injil sudah pun dikenali luas dan diketahui ajaran-ajarannya pada akhir abad yang pertama Tahun Masehi.
Jadi, tidak bergunalah bagi segelintir pentafsir-pentafsir Islam untuk mengutuk dan membawa macam-macam tuduhan dan tohmahan keatas Kitab Suci Injil dan kesahihannya. Sudah jelas bahawa kesaksian sejarah dan kebenaran tidak memihak dengan mereka. Tokoh-tokoh Islam lain yang lebih berhemat dan memiliki lebih hikmat daripada segelintir pendakwah dan 'misionari' ini, pun tidak bersetuju dengan pendapat-pendapat serong lagi sempit mereka. Nama beberapa tokoh-tokoh Islam tersebut ada dihurai di permulaan rencana ini. Sudah jelas bahawa tuduhan-tuduhan pendakwah dan misionari itu adalah tidak berasas, lagi tidak munasabah dan juga amat buta sejarah.