Isa Al-Masih itu ilahi?

Orang Islam menerima Hazrat Isa sebagai seorang yang baik dan bermartabat tinggi tetapi menolak keilahianNya. Mereka mengatakan bahawa merekalah satu-satunya golongan manusia yang memberi penghormatan yang sesuai kepada Hazrat Isa; tidak seperti orang Yahudi yang mengatakan Hazrat Isa adalah anak luar nikah Siti Maryam atau seperti orang Kristian yang memuji dan memuliakan Hazrat Isa sebagai Allah. Bagi mereka kelakuan sebegini tidak seharusnya dibuat dan merupakan satu penghinaan kepada Hazrat Isa.

"Akulah Allah"

Salah satu kritikan yang cuba ditonjolkan oleh orang Islam untuk menyangkal keilahian Hazrat Isa berbunyi begini:

Di dalam seluruh Alkitab, Hazrat Isa tidak pernah berkata, "Akulah Allah", atau, "Sembahlah saya."

Kalau kita berharap untuk melihat kenyataan di atas dalam Alkitab, sememangnya kita akan kecewa. Memang benar tidak ada catatan dalam Alkitab di mana Hazrat Isa secara terus-terang mengkhabarkan keilahianNya. Hazrat Isa tidak pernah berbuat demikian, menyebarkan kepada umum identiti dan kedudukannya yang sebenar.

Apabila Hazrat Isa memulakan pelayanannya, Dia berkata bahawa Dia adalah hamba yang datang bukan untuk dilayani tetapi untuk "melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang" (Markus 10:45). Hazrat Isa telah merendahkan diriNya sebagai manusia supaya Dia dapat melayani mereka. Ini bukan sesuatu yang mustahil. Hal seperti ini ada berlaku di sekeliling kita. Apabila Perdana Menteri kita melipatkan lengan bajunya dan turun ke sawah padi untuk menuai padi yang sudah masak, membuktikan dia berjiwa rakyat, dia tetap Perdana Menteri kita. Walaupun dia buat sementara waktu telah turun ke tahap seorang petani, kedudukannya sebagai pemimpin negara tidak pernah berubah.

Kita perlu memahami hakikat ini terlebih dahulu, jika kita mahu memahami sebabnya mengapa Hazrat Isa tidak pernah berkata Dia Allah secara terbuka. Pelayanan dan pernyataan Hazrat Isa berasaskan matlamatNya datang ke dunia dan bukan identiti peribadiNya. Kalau begitu, adakah Hazrat Isa akan mengisytiharkan keilahianNya secara terbuka setelah Dia memilih kehidupan sebagai hamba dengan penuh kerendahan hati? Saya rasa tidak! Tambahan pula, bolehkah Hazrat Isa melayani orang yang sakit, berdosa, miskin, tanpa harapan dan memikul beban yang berat jika Dia mengutamakan pengisytiharan identitiNya yang sebenar? Jelas jawapannya tidak! Itulah sebabnya Hazrat Isa sering melarang orang mengheboh-hebohkan identitiNya yang ilahi.

Dia menyembuhkan semua orang sakit, dan melarang mereka memberitahu orang lain tentang Dia. (Matius 12:15,16).

Hazrat Isa, walaupun memiliki sifat Allah, tidak memilih untuk mengisytiharkan aspek tersebut tetapi sebaliknya dia mengambil rupa seorang hamba dan menjadi sama seperti manusia. Kalau ini sengaja dilakukan Hazrat Isa, maka tidak masuk akallah jika Dia mengumumkan keilahianNya kerana hal itu tidak sejajar dengan matlamat Dia menjelma di dunia.

Sebenarnya Dia ilahi tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia dan hidup seperti manusia. (Filipi 2:6,7).

Sebenarnya, adalah mudah bagi manusia percaya sekiranya Hazrat Isa mengakui secara terus-terang identitiNya yang sebenar.

Oleh itu orang Yahudi datang berkumpul di sekeliling Hazrat Isa. Mereka bertanya, "Berapa lamakah guru mahu membiarkan kami ragu-ragu? Katakanlah dengan terus terang. Adakah guru Penyelamat yang diutus oleh Allah?" (Yahya 10:24)

Tetapi Hazrat Isa enggan menyatakan identitiNya dengan terus terang kerana kepercayaan yang berdasarkan kenyataanNya tidak memerlukan iman lagi. Iman "bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat." (Ibrani 11:1). Mungkinkah Hazrat Isa menyatakan keilahianNya secara tidak langsung supaya kita bebas menilai tindakan-tindakanNya sehingga membawa kepada pertumbuhan iman yang kukuh? Walaupun Dia tidak menyatakan siapa dan apa Dia sebenarNya, saya percaya Hazrat Isa telah memperlihatkan siapa diriNya yang sebenar melalui tingkah lakuNya lalu membiarkan manusia menilai apa yang sebenarnya dinyatakan oleh perkataan dan perbuatanNya.

Umat Kristian percaya bahawa Hazrat Isa adalah Allah walaupun dia tidak menyatakan ini di mana-mana bahagian Alkitab dengan terus-terang. Cara untuk mengatasi dilema ini bukanlah dengan mencari ayat-ayat tertentu di mana Hazrat Isa berkata dia Allah, tetapi dengan membaca keseluruhan Alkitab, khasnya Perjanjian Baru, dan merenungkan identitinya yang sebenar. Adalah cukup jelas dalam kata-kata dan perbuatannya, bahawa keilahian Hazrat Isa diakui dan tidak dapat dielakkan. Dari kata-kata Hazrat Isa sahaja, adalah sangat menghairankan jika kita berfikir bahawa dia adalah insan biasa sahaja. Keseluruhan rekod Injil menyatakan mesej ini: Hazrat Isa bukan hanya seorang manusia biasa.

Mari kita lihat beberapa contoh daripada Kitab Injil:

  1. Hazrat Isa mengakui kewujudannya yang kekal

    Mereka berkata kepada Hazrat Isa, "Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?" Hazrat Isa menjawab, "Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada." (Yahya 8:57-58)

  2. Hazrat Isa Maha Tahu

    Apabila Hazrat Isa nampak Natanael datang kepadaNya, Dia berkata tentang Natanael, "Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!" Natanael bertanya kepada Hazrat Isa, "Bagaimana tuan mengenal saya?" Hazrat Isa menjawab, "Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu." (Yahya 1:47-48)

    Hazrat Isa menjawab, "Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini." Wanita itu menjawab, "Saya tidak bersuami." Lalu Hazrat Isa berkata, "Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu." (Yahya 4:16-18)

  3. Hazrat Isa akan menghakimi segala bangsa

    Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada AnakNya. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. (Yahya 5:22-23b)

  4. Hazrat Isa Maha Kuasa

    Mukjizat-mukjizatNya mengukuhkan kebenaran ini. Memang diakui bahawa nabi-nabi lain juga melakukan mukjizat, tetapi mereka melakukannya dengan memohon kuasa Allah melalui doa. Hazrat Isa tidak melakukan ini kerana sifat keilahianNya berkuasa melakukan mukjizat. Juga perlu dinyatakan di sini bahawa murid-murid Hazrat Isa melakukan berbagai mukjizat dalam nama Hazrat Isa:

    Tetapi Petrus berkata kepadanya, "Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku beri kepadamu: dengan kuasa Hazrat Isa Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!" (Kisah Para Rasul 3:6).

  5. Hazrat Isa berkuasa mengampuni dosa

    Hazrat Isa melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepaa orang lumpuh itu, "AnakKu, dosamu sudah diampunkan. Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa. Lalu Hazrat Isa berkata kepada orang lumpuh itu, "Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!" (Markus 2:5,10-11)

  6. Hazrat Isa mengaku datang dari syurga

    ". . . kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendakKu sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Akulah roti yang memberi hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. (Yahya 6:38a, 51a)

  7. Hazrat Isa akan membangkitkan semua orang yang mati

    ". . . Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak BapaKu: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepadaNya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat" (Yahya 6:39b-40)

    Hazrat Isa berkata kepada Marta, "Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberi hidup. Sesiapa yang percaya kepadaKu akan hidup, meskipun dia sudah mati." (Yahya 11:25)

  8. Kedudukan akhirat semua manusia bergantung kepada tindakbalas mereka kepada identiti Hazrat Isa.

    Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diriNya AKU.’ (Yahya 8:24)

Kesemua hakikat ini menunjuk kepada keilahian Hazrat Isa. Semua yang dinyatakan di atas adalah sifat dan hak istimewa Allah yang juga diakui dalam Islam. Apakah dengan menyatakan semua ini, Hazrat Isa tidak berkata dia itu Allah? Seringkali Dia dituduh menghina martabat Allah apabila menyatakan hal-hal di atas. Walaupun Dia tahu bahawa tuntutNya itu akan membawa kepada hukuman mati dia tidak berganjak daripada pernyataan-pernyataannya yang penuh kontroversi itu.

Semua orang Yahudi di situ menjawab, "Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku dirinya Anak Allah." (Yahya 19:7)

Jelaslah bagi Hazrat Isa bahawa segala kenyataanNya adalah benar dan diucapkan dengan akal yang waras. Al-Quran memaparkan Hazrat Isa sebagai seorang yang benar, waras dan terhormat. Jadi, adalah mustahil untuk Hazrat Isa berdusta, apatah lagi sanggup mati untuk kenyataan-kenyataan yang Dia sendiri anggap salah! Jika kata-kata ini tidak diucap oleh Hazrat Isa (seperti yang disarankan sesetengah pihak), apakah Hazrat Isa mahu mati untuk kenyataan-kenyataan dusta orang lain tentang diriNya?

"Sembahlah Saya"

Pernahkah Hazrat Isa berkata kepada orang ramai, "Sembahlah saya"? Ini adalah satu soalan yang sukar dijawab dan jawapannya berkaitan dengan apa yang telah dibincangkan sebelum ini, iaitu pernyataan Hazrat Isa akan keilahianNya. Jika Hazrat Isa secara umum tidak mengakui diriNya sebagai Allah, apakah patut kita mengharapkan Dia memberitahu orang ramai supaya menyembahNya? Pasti tidak!

Walaupun begitu, Hazrat Isa menyatakan keilahianNya dengan jelas dalam kenyataan-kenyataan dan perbuatan-perbuatanNya yang luarbiasa. Ketika Dia membuat satu pengakuan atau mukjizat-mukjizatNya ada orang yang menyembah Dia. Terdapat banyak peristiwa di mana orang menyembah Hazrat Isa dan dalam setiap peristiwa Dia tidak pernah menolak atau menghalang penyembahan mereka.

Kemudian pengikut Hazrat Isa yang di perahu sujud menyembah Hazrat Isa sambil berkata, "Sesungguhnya Engkau Anak Allah!" (Matius 14:33)

Tiba-tiba Hazrat Isa datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, "Sejahtera kamu." Mereka menghampiri Dia, memegang kakiNya, dan menyembah Dia. (Matius 28:9)

Apabila mereka melihat Hazrat Isa, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu. (Matius 28:17)

Untuk menghargai aspek kehidupan Hazrat Isa ini, marilah kita membandingkannya dengan pengalaman Paulus dan Barnabas. Kedua-dua hamba Allah ini melarang dan mengutuk orang yang menyembah mereka sambil berkata bahawa mereka adalah manusia biasa walaupun mereka berjaya melakukan mukjizat:

Imam dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar bandar, datang membawa lembu jantan dan bunga ke pintu gerbang. Dia dan orang ramai hendak mempersembahkan korban kepada rasul-rasul itu. Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa apa yang akan dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-goyak pakaian lalu berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, "Mengapakah kamu melakukan hal ini? Kami pun manusia seperti kamu semua! Kami datang di sini untuk mengkhabarkan Berita Baik supaya kamu meninggalkan berhala-berhala yang tidak berguna itu lalu datang kepada Allah yang hidup, Pencipta langit, bumi dan laut serta semua yang ada di dalamnya. (Kisah Para Rasul 14:13-15).

Sebaliknya, Hazrat Isa tidak pernah menghalang sesiapapun yang datang menyembahNya! Keizinan Hazrat Isa sesungguhNya berkata, "Sembahlah saya!"

Anak Maryam, Anak Allah

Semestinya tidak ada bantahan mengenai Hazrat Isa sebagai anak Maryam. Alkitab menunjukkan bahawa orang yang hidup pada masa Hazrat Isa memang mengakui demikian mengenaiNya.

Bukankah dia ini tukang kayu, anak Maryam dan juga saudara Yakobus, Yoses, Yudas, dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuannya tinggal di sini?" Oleh itu mereka tidak mahu menerimanya. (Markus 6:3)

Pengertian ini datang dari kehidupan dan rupa Hazrat Isa sebagai manusia. Kerana itu mereka hairan bagaimana Dia, anak seorang wanita biasa dapat melakukan perkara-perkara yang besar. Sememangnya Hazrat Isa seorang manusia, seorang berbangsa Yahudi, anak kepada Yusuf dan Maryam, seorang tukang kayu yang mempunyai beberapa adik-beradik baik lelaki-laki mahupun perempuan. Dia dibesarkan oleh Yusuf dan Maryam dan taat kepada mereka seperti mana-mana anak lain.

Setelah itu Hazrat Isa pulang bersama-sama mereka (Maryam dan Yusuf) ke Nasaret dan taat kepada mereka.Ibu-Nya menyimpan semua perkara ini di dalam hati. Hazrat Isa bertambah besar dan bujaksana, dan Dia menyenangkan hati Allah mahupun manusia. (Lukas 2:51-52)

Hazrat Isa mencapai kedewasaan seperti manusia biasa dan menampakkan ciri-ciri biasa yang dimiliki semua manusia. Ini termasuklah:

  1. Menjadi letih

    Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Hazrat Isa yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. (Yahya 4:6)

  2. Makan dan minum

    Apabila Anak Manusia datang, Dia makan dan minum; lalu semua orang berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa!’ (Matius 11:19a)

  3. Menjadi sedih dan menangis

    Apabila Hazrat Isa melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maryam juga menangis, Hazrat Isa sedih hati dan terharu. Hazrat Isa menangis. (Yahya 11:33 dan 35)

  4. Wafat

    Lalu Hazrat Isa berseru dengan suara lantang, "Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!" Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal. (Lukas 23:46)

Hazrat Isa adalah seperti manusia dalam hampir semua hal. Dia mengalami apa yang manusia lain alami kecuali dosa.

Imam Agung kita bukanlah imam yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Imam Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa! (Ibrani 4:15)

Ramai orang Islam membangkitkan isu tentang kemanusiaan Hazrat Isa. Mereka bertanya:

Sekiranya Hazrat Isa adalah Tuhan, mengapa dia makan? Tuhan tidak makan. Mengapa Dia tidur? Tuhan tidak tidur.

Sebenarnya pendekatan perbincangan ini salah pada tempatnya. Pendekatan umat Islam tidak sesuai dengan perbincangan tentang amalan Hazrat Isa sebagai manusia. Kesimpulan yang sepatutnya dibuat dengan amalan-amalan Hazrat Isa ini ialah bahawa dia manusia dan bukan sebagai bukti yang Dia bukan Allah. Amalan Hazrat Isa yang dibangkitkan membuktikan Hazrat Isa adalah manusia tulen. Ini juga kepercayaan orang Kristian yang tidak menafikan kemanusiaan Hazrat Isa. Amalan-amalan dan sifat-sifat Hazrat Isa ini tidak menyatakan atau menafikan keilahianNya dan kerana itu tidak boleh dipakai sebagai alasan untuk menolak keilahianNya.

Saya percaya kita boleh menyimpulkan bahawa Hazrat Isa bukan Allah sekiranya Hazrat Isa tidak pernah memberi apa-apa tanda yang membuktikan keilahianNya. Akan tetapi jika kita boleh tunjukkan bahawa Hazrat Isa telah membuktikannya, maka kita terpaksa mengakui Hazrat Isa sebagai ilahi. Untuk menyatakan bahawa Isa Al-Masih adalah Tuhan tidak semestinya menghalang Hazrat Isa menjadi manusia, lebih-lebih lagi jika Allah yang telah berancang menjelma sebagai manusia. Hal ini sangat ajaib tetapi tidak mustahil jika kita menghargai kuasa Allah yang tidak terbatas.

Hazrat Isa adalah Tuhan dan manusia. Kedua-dua sifat ini telah disatukan di dalam satu peribadi. Walaupun Dia makan, Dia juga memberi makanan kepada 5000 orang dengan menggunakan lima ketul roti dan dua ekor ikan (Yahya 6:5-13). Dia tidur mengharapkan murid-muridNya percayakan Dia ketika perahu mereka dipukul ombak kerana Dia masih berkuasa walaupun sedang tidur (Markus 4:35-41). Walaupun Dia menjadi letih, Dia mengundang orang ramai untuk datang kepadanya untuk mendapat kelegaan bagi jiwa mereka (Matius 11:28). Walaupun Dia menderita dengan teruk, Dia menyembuhkan orang yang sakit dan membebaskan yang diseksa. Hazrat Isa mati dan bangkit pada hari ketiga. Dengan kebangkitannya, Hazrat Isa tidak lagi letih atau sakit dan Dia hidup selama-lamanya. Kalau itu ialah pengertian anda tentang Hazrat Isa, maka Hazrat Isa - manusia tulen itu adalah juga Allah.

Penjelmaan Allah sebagai manusia Hazrat Isa adalah satu kenyataan Injil yang jelas. Rasul Yahya seorang Hawari dalam Injil tulisannya dengan jelas menyatakan kepada kita bahawa "pada mulanya adalah Firman, Firman itu bersama dengan Allah dan Firman itu adalah Allah" (Yahya 1:1). Kita juga diberitahu bahawa "Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal di antara kita" (Yahya 1:14). Oleh itu Firman yang menjadi manusia dan diam di antara kita bersifat jasmani dan ilahi serta mempunyai keberadaan yang kekal bersama Allah.

Seorang dari anak Allah atau satu-satunya Anak Allah?

Satu kritikan daripada Islam yang telah muncul menyatakan bahawa Hazrat Isa adalah anak Allah sama seperti semua hamba Tuhan lain yang setia kepada Allah. Dengan ini apa yang ingin disampaikan ialah gelaran ‘Anak Allah’ yang diberikan kepada Hazrat Isa bukanlah sesuatu yang unik.

Menurut Ahmad Deedat dalam bukunya ‘Al-Masih di dalam Islam’, perkataan ‘anak daripada Allah’ merujuk kepada setiap orang yang setia yang menggenapi kehendak dan rancangan Allah. Penyataan Hazrat Isa sebagai anak Allah mungkin lebih dekat kepada pengertian "telah menjadi anak Allah kerana dia lebih setia kepada Allah berbanding kemampuan setiap daripada kita."

Walaupun takrif ‘anak’ yang diberikan oleh Islam (iaitu hamba yang setia dan taat kepada Allah) tidak begitu salah, Islam membuat kesalahan yang besar dalam ilmu Tafsir kerana memberikan maksud ini kepada perkataan ‘anak’ tanpa mengambil kira konteksnya. Penggunaan perkataan ‘anak’ hanya boleh difahami dalam konteks di mana ianya dijumpai. Contohnya:

  • Kaum Israel dipanggil anak Allah bukan kerana mereka menggenapi kehendak Allah tetapi kerana mereka dipilih menjadi umat pilihan Allah (Hosea 11:1).
  • Raja-raja kaum Israel dipanggil anak Allah kerana Allah telah mentahbiskan mereka dan memberi kepada mereka pimpinan dan keselamatan.
  • Adam dipanggil anak Allah kerana dia tidak ada ibubapa dan dicipta oleh Allah (Lukas 3:38).
  • Umat Kristian adalah anak Allah kerana mereka percaya kepada Hazrat Isa Al-Masih (Yahya 1:12). Semua golongan manusia semestinya melakukan kehendak Allah tetapi alasan dasar kenapa mereka dianggap anak Allah adalah kerana perhubungan yang Allah sendiri telah tetapkan dengan mereka.

Jelaslah dari contoh-contoh di atas bahawa definisi Islam bagi 'anak' (seperti yang disyorkan Ahmad Deedat) sangat terhad dan tidak berjaya mencakup sepenuhnya skop penggunaan perkataan ‘anak’ dalam Alkitab.

Seperti yang telah dikatakan, inilah kesalahan asas Islam apabila ia menterjemah dan mentafsirkan setiap penggunaan perkataan ‘anak’ yang dipasangkan dengan nama Hazrat Isa.

Hazrat Isa memanggil Allah dengan nama yang intim, iaitu ‘Abba’, satu panggilan intim untuk bapa yang dipakai pada zaman Hazrat Isa (Markus 14:36). Adalah sangat penting untuk kita sedar bahawa panggilan ‘Abba’ tidak pernah digunakan oleh orang Yahudi apabila memanggil Allah. Yang menarik, ia hanya digunakan oleh kanak-kanak apabila mereka bercakap dengan bapa kandung mereka. Tambahan pula, apabila merujuk kepada persekutuan dan perhubunganNya dengan Allah dan ketika memanggil Dia, Hazrat Isa menggunakan ungkapan intim ‘BapaKu’ dan bukan ungkapan biasa ‘Bapa kami’. Ini menunjukkan kemesraan perhubungan di antara Hazrat Isa dan Allah, kemesraan seorang anak dengan bapanya.

Apabila merujukkan Allah kepada orang Yahudi, Hazrat Isa hanya menggunakan ungkapan ‘Bapa kamu’ dan bukan ‘Bapa kita’. Dia menggunakan frasa ‘BapaKu’, BapaKu di syurga’ atau ‘Bapa’ apabila rujukanNya kepada Allah berkaitan dengan diriNya dan ‘Bapa kamu’ apabila bercakap dengan orang Yahudi. Ini tidak bermaksud ada dua Bapa (Allah), tetapi dua perhubungan yang berbeza dengan Allah yang esa.

Ikatan kemesraan yang tiada bandingnya antara Hazrat Isa dan Allah menjelaskan persekutuan yang lengkap bukan sahaja di dalam tujuannya tetapi juga dari segi kepentingannya. Hazrat Isa menggalakkan murid-muridNya untuk percaya bahawa Dia di dalam Allah dan Allah di dalam Dia.

Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku. (Yahya 14:11a).

Inilah sebabnya Hazrat Isa dapat mengaku bahawa perkataan dan pekerjaannya adalah dari Allah:

  • Apa yang Allah kerjakan, Dia juga buat (Yahya 5:19).
  • Allah membangkitkan orang yang mati dan memberi hidup, Hazrat Isa juga demikian – memberi hidup kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki (Yahya 5:21).
  • Allah memiliki hak istimewa menjadi hakim kepada manusia, tetapi sekarang Allah menyerahkan penghakiman ini kepada Hazrat Isa (Yahya 5:22).
  • Allah sedang bekerja, Hazrat Isa pun bekerja (Yahya 5:17).
  • Apabila kita melihat Hazrat Isa, ia adalah sama seperti melihat Allah (Yahya 14:9).
  • Dalam mengenal Hazrat Isa kita pun mengenal Allah (Yahya 8:19).
  • Percaya kepada Hazrat Isa adalah percaya kepada Allah (Yahya 14:11).
  • Menghormati Hazrat Isa sama seperti menghormati Allah dan membenci Hazrat Isa ialah juga membenci Allah (Yahya 5:23, 15:23).

Dalam pengertian orang Yahudi (yang tidak cuba dibetulkan oleh Hazrat Isa), apabila Hazrat Isa memanggil Allah sebagai BapaNya sendiri, Dia membuat diriNya sama taraf dengan Allah. Hal ini sahaja cukup sebagai dasar yang kuat mengapa Hazrat Isa dipanggil Anak Allah.

Tetapi Hazrat Isa berkata kepada mereka, "Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja." Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu BapaNya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah. (Yahya 5:17-18)

Hazrat Isa, apabila ditekan dengan kuat untuk membuktikan diriNya kepada yang berdegil, menjawab ‘Ya’ kepada soalan mereka: "Apakah kamu Al-Masih (Kristus), Anak Allah yang hidup?" (Markus 14:61-62). Dengan pengakuan ini Hazrat Isa dikutuk bukan kerana dia didapati bersalah tetapi kerana orang Yahudi tidak mahu percaya kepada Dia sebagai Anak Allah. Jika, Hazrat Isa dengan tidak sengaja telah menyesatkan orang Yahudi dan sebenarnya bermaksud mengatakan yang Dia adalah anak Allah dalam maksud yang biasa, apakah Dia rela mahu membenarkan diriNya menjalankan hukuman salib yang memalukan itu?

Bukan Hazrat Isa sahaja yang menggelar dirinya Anak Allah. Ramai lagi memanggilnya dengan gelaran ini:

  • Allah sendiri memanggil Hazrat Isa anakNya pada waktu pembaptisan dan penjelmaan Hazrat Isa (Markus 1:9,11, 9:7).
  • Natanael apabila melihat Hazrat Isa berkata, "Rabbi, Engkau Anak Allah." Hazrat Isa mengambil ini sebagai pengakuan iman Natanael berdasarkan pengetahuanNya yang lebih awal mengenai Natanael (Yahya 1:49-50).
  • Yahya Pembaptis pada pertemuannya dengan Hazrat Isa mengaku bahawa Yesuslah satu-satunya Anak Allah (Yahya 1:34).

Tunggal

Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita. (Yahya 1:18)

Pengertian mengenai perkataan ‘anak tunggal’ menyebabkan ramai orang Islam tersandung kerana mereka mengaitkan definisi perkataan ini kepada maksud amnya yang melibatkan aspek kelamin/seks. Perkataan ini tidak semestinya membawa pengertian kelamin/seks/biologi. Perkataan ini berasal dari kata Yunani ‘monogenes’ yang boleh bererti ‘hanya satu’ atau ‘satu-satunya’. Kamus Webster pula menerangkan perkataan ini sebagai ‘menjadi bapa kepada’.

Seseorang itu boleh menjadi anak melalui beberapa cara. Contohnya, di dalam Lukas 3:23, orang Yahudi mengenal Hazrat Isa sebagai anak Yusuf dan Maryam. Yusuf dianggap sebagai bapa Hazrat Isa, bukan secara biologi tetapi berdasarkan perkahwinannya dengan Maryam dan juga kerana kedua-duanya telah memelihara Hazrat Isa Al-Masih. Dalam kes ini, Hazrat Isa dianggil anak Yusuf kerana telah berlakunya penggantian yang sah dan bukan kerana dia keturunan yang sebenarnya.

Kita telah faham bahawa perkataan ‘anak Allah’ di dalam Alkitab mengambil pelbagai penggunaan dan tidak satupun yang bermaksud ‘anak Allah’ secara jasmani. Perkataan ‘anak tunggal’ mempunyai penggunaan yang pelbagai di dalam Alkitab. Bersabit dengan Hazrat Isa, perkataan ini bermaksud: Allah adalah BapaNya dalam pengertian yang khusus seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Pentafsiran ini adalah sesuai di dalam konteks yang lebih luas mengenai pengakuan Hazrat Isa sebagai Anak Allah. Oleh itu adalah menghairankan bahawa walaupun orang Islam mengerti dengan betul bahawa adanya ramai watak dalam Alkitab yang dipanggil anak Allah dan tiada satupun di antaranya yang merujuk kepada pengertian biologi, tersandung dengan perkataan yang sama apabila digunakan untuk Hazrat Isa kerana mereka menjelaskannya melalui pengertian biologi/jasmani!

Asal Mulanya

Pakar agama Kristian yang tinggal di kalangan orang Islam berfikir bahawa perkataan ‘anak tunggal’ walaupun tidak ada kaitan dengan proses biologi, tidak akan mendapat pertimbangan oleh orang Islam. Mereka berfikir adalah lebih sesuai dengan konteks sekeliling untuk menyampaikan Hazrat Isa sebagai anak dalam pengertian asalnya. Ertinya, menyatakan bahawa Hazrat Isa telah diutuskan oleh Allah untuk menggenapi rancangan keselamatanNya. Walaupun Hazrat Isa dinyatakan sebagai yang diutuskan, ini mesti difahami bukan hanya dari segi amanatNya kerana ini boleh menyebabkan Hazrat Isa hanya seperti nabi-nabi lain yang telah diutus.

Pengutusan Hazrat Isa bererti Dia datang atau berasal dari Allah

Hazrat Isa menjawab, "Meskipun Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. . . Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. . . Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. (Yahya 8:14,16,23. Juga lihat Yahya 5:36, 6:46, 8:42, dan 16:27).

Selepas Hazrat Isa menggenapi misiNya, Dia memberitahu murid-muridNya bahawa Dia akan kembali kepada Allah, ke tempat kediaman asalNya. Inilah sebabnya kenapa Hazrat Isa mengakui pengetahuanNya mengenai Allah adalah ekslusif.

Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya. (Yahya 7:29).

Ini juga bermakna Hazrat Isa mempunyai keberadaan yang kekal dan memiliki kemuliaan serta kedaulatan bersama dengan Allah bahkan sebelum dunia ini ada! Pengakuan Hazrat Isa ini bukan sahaja menjelaskan penjelmaanNya yang langsung (dari syurga ke bumi) tetapi juga sumber keperibadianNya (terbit daripada Allah).

Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan. (Yahya 17:5)

Maka, jelaslah Hazrat Isa adalah Allah, kekal bersama Allah, diutus oleh Allah.